Sunday 28 August 2011

MANDAT MENENTANG KRONISME DI TUARAN



OLEH: KREW SABAHKINI.NET

AHLI Jawatankuasa Umno Bahagian Tuaran, Marsah Muyong yang mendapat undi kedua terbanyak dalam pemilihan UMNO bahagian tersebut beberapa tahun lalu, telah dipilih sebagai Pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang baru ditubuhkan di daerah ini.

NGO tersebut, Majlis Bertindak Deklarasi Suara Anak-Anak Daerah Tuaran (MANDAT) untuk mengetengahkan suara penduduk setempat dalam menuntut kebenaran dan keadilan dalam menangani masalah salah guna kuasa, kronisme serta mengukuhkan perpaduan antara penduduk pelbagai kaum.

Semasa melancarkan pembentukan dan penubuhan MANDAT di Restoran Transit, Jalan Sulaman dekat sini pada malam Jumaat lepas; Marsah yang juga bekas Pemaju Mukim Kawasan Sulaman menyatakan, penubuhan badan bukan kerajaan (NGO) ini adalah bertujuan agar semua pihak menyedari dan memperakui serta menghormati hak-hak dan pentadbiran kerajaan selaras dengan prinsip-prinsip demokrasi serta nilai-nilai manusia sejagat.

"MANDAT akan menyokong dan menegakkan suatu pentadbiran yang benar-benar telus dan bertanggungjawab, cekap dan efisyen; bebas rasuah dan bebas kronisma, bersih dan ikhlas serta adil dan amanah," kata Marsah yang pernah menjadi Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) di daerah ini.

Menurutnya, dengan kelahiran MANDAT akan menjadi suara kepada penduduk setempat untuk menghidupkan dan menyuburkan perasaan saling memahami dan setiakawan sebagai satu daerah bangsa berteraskan kesaksamaan, keadilan serta maju dan sejahtera.

MANDAT juga kata Marsah, akan menyampaikan kepada pihak berwajib berkaitan usaha untuk memberikan lonjakan terhadap kedudukan sosio ekonomi, pendidikan dan budaya agar dapat dilestarikan dalam kehidupan rakyat setempat dengan lebih saksama dan progresif.

"Selain itu NGO ini juga akan mendukung suatu Dasar Ekonomi yang dapat meningkat dan meneruskan suatu tahap kehidupan yang tinggi untuk seluruh penduduk pelbagai lapisan,berasaskan prinsip-prinsip kesaksamaan dan seimbang selaras dengan kewibawaan dan kemampuan kewangan kerajaan yang stabil masa kini," kata Marsah lagi.

Turut hadir bekas Ketua Penerangan UMNO Bahagian Tuaran, Haji Ghulabdin Enjih; Bekas Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tuaran, Mohammad Nanti; Bekas Presiden Kesatuan Sekerja PETRONAS Sabah, Haji Awang Puasa Jambul; Ketua Bahagian Pertubuhan Anak Negeri Sabah (PANSA) Tuaran, Ibrahim Ali Omar dan Bekas Pesara Polis, Osman Daud dari Kampung Mengkabong Tuaran.

Marsah memberitahu beliau akan bersama dengan Ahli Jawatankuasa MANDAT Tuaran untuk mengemukakan proses pendaftarannya kepada Pendaftar Pertubuhan selepas perayaan Hari Raya tidak lama lagi.

Mesyuarat penubuhan MANDAT telah juga memilih Bekas Ketua Penerangan UMNO Tuaran, Haji Ghulabdin Enjih sebagai Setiausaha; Bekas Ahli Jawatankuasa UMNO Tuaran, Mohammad Nanti sebagai Timbalan Pengerusi; Bekas Presiden Kesatuan Sekerja Petronas Sabah, Haji Awang Puasa Jambul sebagai Bendahari; Ketua Cawangan UMNO Sentosa, Ismail Ensun sebagai Penolong Setiausaha dan Pengerusi Persatuan Bekas Angkatan Tentera Malaysia Tuaran, Rabin Haji Muatib sebagai Ketua Penerangan.

Enam Naib Pengerusi terdiri daripada Ketua Bahagian PANSA Tuaran, Ibrahim Ali Omar (Bolong); Lamdin Gundah (Mengkabong); Rahman Husin (Simpangan); Nasip @ Awang Kahar (Mengkabong) dan Saibol Arshad (Simpangan).

Sementara itu seramai 9 orang Ahli Jawatankuasa yang terpilih terdiri daripada Sapini Haji Kaulih (Bolong Baru); Saihun Ibrahim (Simpangan); Merusin Kuyuh (Mengkabong); Jumati Kasi (Lok Batik); Gafar Ahmad (Lok Batik); Madaim Dusul (Mengkabong); Poyok Doah (Mengkabong); Abdullah @Rasit Botor (Mengkabong) dan Deli Posob (Lok Batik).

No comments:

Post a Comment