Tuesday 9 August 2011

MANTAN GSTT FAIL SAMAN TUNTUT KEADILAN



Saudara Pengarang,

NAMA saya, Mohd Nazib Maidan Dally, berumur 35, dilahirkan di Tambunan dan dibesarkan Sipitang, Sabah. Saya telah dihalang mendapatkan manfaat jaminan dan akujanji yang diperuntukkan dalam pelbagai dokumen perlembagaan Malaysia berkaitan dengan janji Borneonisasi perkhidmatan persekutuan di Sabah.

Saya adalah Guru Sandaran di SK Ulu Bole di Sipitang, Sabah pada tahun 2002-2004. Pada masa itu, saya cuba dengan sedaya-upaya sebanyak tiga kali memohon diterima ke Kursus Dalam Cuti yang dianjur khusus untuk guru-guru yang sedang bekerja seperti saya untuk dilatih sebagai guru.

Pada awal tahun 2005 pekerjaan saya sebagai guru ditamatkan secara tiba-tiba disebabkan diskriminasi kerajaan persekutuan kerana setakat yang saya tahu, terdapat guru-guru dari Semenanjung Malaysia dihantar ke beberapa sekolah di daerah Sipitang dan lain-lain bahagian di Sabah selepas perkhidmatan saya telah ditamatkan.

Penamatan perkhidmatan saya adalah sunguh tidak adil kerana terdapat kekosongan jawatan guru-guru di SK Ulu Bole dan lain-lain sekolah rendah di daerah Sipitang dan lain-lain daerah di Sabah.

Saya telah membaca dalam akhbar bahawa terdapat 200 graduan Sabah dengan ijazah pendidikan tidak dipertimbangkan untuk jawatan-jawatan yang sedia ada meskipun terdapat kekosongan di kawasan luar bandar.

Sekarang kita tahu dari statistik yang disediakan kepada saya oleh ADUN Likas, Datuk Liew Teck Chan bahawa terdapat 5,245 siswazah menganggur dan lepasan diploma di Sabah.

Rakyat Sabah yang berkelayakan ini sepatutnya boleh diambil bekerja dalam perkhidmatan persekutuan. Tetapi hanya 38.33% sahaja ketua-ketua jabatan persekutuan di Sabah yang berasal dari Sabah.

Menurut Ahli Parlimen Malaysia (Sepanggar), Datuk Eric Majimbun, hanya 77.9% dari 66,597 kakitangan awam persekutuan di Sabah adalah berasal dari Sabah. Ini tidak termasuk angkatan tentera.

Saya kini telah dinasihatkan oleh peguam saya, Peter Marajin, bahawa faedah Perjanjian Malaysia 1963 dan lain-lain dokumen perlembagaan yang menjanjikan Borneonisasi perkhidmatan awam persekutuan di Sabah telah dinafikan kepada rakyat Sabah.

Saya kini tiada mempunyai pilihan lain kecuali untuk mendapatkan tindakan undang-undang untuk memastikan bahawa hak kontrak, janji-janji, aku janji dan jaminan dalam Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia 1963, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), 1962, dua puluh Perkara dan Memorandum Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia di Malaysia yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Cobbold dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia haruslah dilaksanakan sepenuhnya.

Saya juga dipandu oleh warga emas seperti Bernard Fung Fon Chen, bekas anggota polis berumur 70, yang berjuang untuk generasi muda seperti saya telah memberikan inspirasi kepada saya untuk mengambil kes ini.

Saya mengucapkan terima kasih kepada keluarga saya, rakan-rakan dan penyokong-penyokong kerana memberi saya keberanian untuk tampil ke hadapan dan berjuang dalam perjuangan ini semata-mata untuk rakyat Malaysia di Sabah dan untuk masa depan kita.

Salam Hormat,

MOHD NAZIB MAIDAN DALLY.

No comments:

Post a Comment