Tuesday 16 August 2011

MASJID BARU DI KG KERUKAN, KUALA PENYU



SERAH……Lajim diiringi oleh John, Isnin menyerahkan jalur gemilang kepada Penolong Pegawai Daerah Kuala Penyu, Abd.Rahim Yakub sempena majlis tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

SEBUAH Masjid baru bakal dibina di Kampung Kerukan, Kuala Penyu bagi menggantikan masjid sedia ada yang semakin usang dan tidak mampu menampung pertambahan jemaahnya.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Hj Ukin berkata, pihaknya telah memohon peruntukan berjumlah RM2 juta daripada kerajaan pusat bagi tujuan itu.

Katanya, pembinaan masjid berkenaan perlu disegerakan memandangkan keadaannya yang semakin usang dan hanya dibina menggunakan kayu. Langkah itu juga penting bagi menampung pertambahan penduduk yang menggunakan masjid berkenaan.

Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata demikian pada majlis berbuka puasa bersama penduduk kampung Kerukan dan peserta konvoi kembara merdeka Ramadhan di Masjid Jamek Kerukan, Kuala Penyu dekat sini petang kelmarin.

Hadir sama Wakil Rakyat Kuala Penyu John Teo Mau Sing; Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Sabah Yunus Haji Saprin; Penolong Pegawai Daerah Kuala Penyu Abdul Rahim Yakub dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Beaufort Isnin Haji Aliasnih.

Menurut Lajim, aspek penyediaan prasarana termasuk masjid dan surau akan tetap diberi keutamaan bagi memastikan kelangsungan pembangunan modal insan.

LEPASKAN…Lajim turut melepaskan peserta Konvoi kembara Merdeka Ramadhan yang akan meneruskan perjalanan mereka ke destinasi terakhir, daerah Sipitang.

Tambahnya, kerajaan yang diterajui BN akan sentiasa menyediakan kemudahan pembangunan bukan sahaja dari segi material malah pembangunan rohani, dan meningkatkan keselamatan.

Dalam perkembangan lain Lajim yang juga Ketua Umno Bahagian Beaufort mahukan golongan muda agar memiliki semangat patriotik supaya kepimpinan politik dan perlembagaan serta keamanan Negara dapat dipertahankan dan sebahagian besar generasi muda masa kini sebenarnya memahami aspirasi tersebut.

Katanya, semangat patriotisme mesti dipupuk dan disuburkan. Hanya melalui pemupukan semangat itu dalam kalangan generasi belia, sedikit sebanyak dapat dijadikan benteng bagi menghadapi ancaman budaya luar.

“Kita tidak boleh alpa kerana ia adalah petanda kepada penghakisan nilai patriotisme mengancam golongan muda ketika ini dan keadaan menjadi semakin sulit apabila tindakan ini disokong oleh individu-individu tertentu demi kepentingan politik kepartian mereka,” katanya.

Di majlis tersebut, selain berbuka puasa bersama masyarakat Islam setempat, peserta kembara Konvoi Merdeka Ramadan turut diadakan majlis penyampaian jalur gemilang, juga penyampaian sumbangan wang zakat kepada golongan kurang upaya, ibu tunggal fakir miskin dan anak yatim piatu.

No comments:

Post a Comment