Wednesday 24 August 2011

MASJID INSTITUSI JANA PERPADUAN



IKHLAS…..Lajim sambil diperhatikan Isnin, Jupry dan Mohd.Ishak ketika menyampaikan sumbangan peribadinya untuk masjid kampung Berangkok yang diterima oleh Haji Dahali di majlis tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

TIMBALAN Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin menasihati umat Islam agar bersatu padu dengan menjadikan masjid sebagai institusi yang memainkan peranan besar dalam pembangunan dan perpaduan masyarakat setempat.

Katanya, ini penting kerana perpaduan dan permuafakatan sesama umat menjadi penentu kejayaan sesebuah Negara khususnya umat Islam.

“Dalam ajaran Islam, kita diseru bersatu padu, jangan berpecah belah kerana ia akan membawa permusuhan dan akhirnya kita menjadi lemah dan tidak berdaya menghadapi cabaran musuh yang mahu menghancurkan negara.

“Menyedari kepentingan itu, kerajaan telah mengambil berat aspek memakmurkan masjid dengan membina, membaiki dan menambah baik masjid-masjid dan surau-surau dengan harapan akan menjadi institusi, bukan sahaja untuk mengembangkan ilmu pengetahuan, khususnya ilmu agama; namun dapat dijadikan wadah memperkukuhkan perpaduan Umat Islam,” katanya ketika berucap di majlis Ziarah Ramadhan di masjid kampung Berangkok, Kuala Penyu, malam kelmarin.

Turut hadir, Timbalan Ketua Umno Bahagian Isnin Haji Aliasnih; Penolong Pegawai Daerah Beaufort, Jupry Etok; Ketua Pergerakan Pemuda Mohd.Ishak Ibrahim dan Pengerusi Masjid Kampung Berangkok Haji Dahali Batok.

Sehubungan itu, Lajim yang juga Pengerusi Sukarelawan PERKIM Sabah berharap jawatankuasa masjid perlu meneruskan usaha memakmurkan rumah Allah itu dengan mengadakan pelbagai aktiviti yang berkualiti dan dapat memupuk perpaduan umat.

“Umat Islam setempat juga sewajarnya menyokong aktiviti tersebut. Kerjasama dua hala ini penting untuk mencapai kejayaan dalam mengimarahkan masjid,” katanya

Pada majlis tersebut, selain menyertai masyarakat Islam setempat bersolat berjemaah isyak dan sunat tarawih, Lajim juga turut menyampaikan sumbangan peribadinya kepada golongan kurang upaya, fakir miskin, ibu tunggal anak yatim piatu dan sumbangan kewangan untuk tabung Masjid dan Surau di kawasan berkenaan.

No comments:

Post a Comment