Saturday 6 August 2011

PEMAJU PERLU SEDIAKAN SURAU/MASJID



ZIARAH…Lajim bersama Timbalan Ketua Umno Bahagian Isnin Haji Aliasnih selepas majlis tersebut sempat meluang masa bagi melawat seorang warga emas bekas pesara Kerajaan Haji Untung Jainal di kampung tersebut bagi bertanyakan khabar dan turut menyampaikan sumbangan peribadinya kepada Jainal.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan bercadang untuk mewajibkan pemaju perumahan, khususnya Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan agensi perumahan kerajaan serta kompleks beli belah; untuk menyediakan masjid atau surau, bagi memudahkan masyarakat Islam menunaikan sembahyang, khususnya sembahyang jumaat.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata, kajian akan dlakukan secara terperinci sebelum akta baharu itu digubal. Ia selaras dengan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia.

Beliau menyatakan demikian ketika ditanya pemberita mengenai perkara berkenaan, pada majlis berbuka puasa dan penyerahan sumbangan kepada warga tua dan orang kelainan upaya di Masjid Kampung Klias Dua di Beaufort petang kemarin

Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, perkara berkenaan penting berikutan terdapat rungutan daripada masyarakat Islam yang tinggal di kawasan perumahan yang terpaksa pergi ke masjid berhampiran kawasan perumahan untuk menunaikan sembahyang jumaat.

Perkara sama juga turut menjadi masalah kepada mereka yang mengunjungi kompleks beli belah kerana keadaan surau yang tidak selesa dan sukar didapati.

Dalam pada itu, Kementeriannya juga telah berbincang dengan persatuan pemaju perumahan di negara ini untuk memanjangkan akta berkenaan kepada pemaju perumahan swasta.

Katanya, dengan pelaksanaan akta baharu itu kelak, akan memudahkan umat Islam menunaikan sembahyang tanpa membuang masa untuk pergi ke masjid diluar kawasan perumahan.

Terdahulu ketika berucap di majlis tersebut Lajim yang Pengerusi Perhubungan Sukarelawan PERKIM Sabah berkatam Ramadan adalah peluang terbaik untuk memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia melalui keunikan yang terdapat di negara ini kerana mempunyai pelbagai kaum dan agama.

Katanya, kedatangan bulan Ramadan bukan sahaja harus dirai dan disambut oleh umat Islam sahaja, malah perlu dirasai oleh semua rakyat tanpa mengira agama yang dianuti.

"Kehadiran bulan Rahmadan ini adalah perluang terbaik bagi masyarakat Islam dan masyarakat yang lain merukuni perpaduan ummah melalui kepelbagaian kaum dan agama selaras dengan Gagasan 1 Malaysia yang kuat dan bersatu padu. Justeru peluang pembaikan diri dan hati ini wajar direbut oleh setiap individu," katanya

Hadir sama di majlis tersebut Penolong Pegawai Daerah Beaufort Jupri Etok; Timbalan Ketua Umno Bahagian Isnin Haji Aliasnih Setiausaha Umno Bahagian Haji Jusih Sarin dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Beaufort Mohd.Ishak Haji Ibrahim

No comments:

Post a Comment