Sunday 7 August 2011

PEMANDU AEROBUS LAYAN SMS KETIKA MEMANDU



Saudara Pengarang,

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) sewajarnya mengadakan penyamaran untuk menangkap Pemandu Bas dari LCCT Kuala Lumpur ke KL Sentral, terutama AeroBus milik Wawasan Sutera Travel & Tours Sdn.Bhd yang membahayakan penumpang kerana menggunakan telefon bimbit, membaca dan menghantar SMS ketika memandu laju di Lebuhraya.

Untuk makluman, saya menaiki penerbangan Air Asia AK5117 dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur pada jam 9.25 malam, 6 Ogos 2011 dan tiba ke LLCT Terminal 2 pada jam 12.05 minit pagi 7 Ogos 2011.

Saya amat gembira kerana AirAsia tiba 15 minit lebih awal daripada dijadualkan dan pengendalian kargo yang cekap menyebabkan penumpang tidak menunggu lama, sebaliknya membuang masa lebih 20 minit menunggu AeroBus bertolak.

Tidak tahu di mana silapnya, pemandu bas tersebut menjadikan jalan raya sebagai Formula One dengan memandu laju sehingga penumpang terumbang ambing di dalam bas.

Paling mengerikan, pemandu bas asyik melayan SMS ketika memandu laju sehingga terkadang kala membrek mengejut bas dan melilau ke kiri dan ke kanan jalan tanpa mempedulikan keselamatan penumpang.

Sewajarnya AeroBus memasang CCTV untuk merakam kegiatan pemandu bas yang mungkin dipengaruhi syabu kerana menahan dari mengantuk dan membahayakan nyawa penumpang dengan memandu melebihi had laju.

Tidak hairanlah jika sering berlaku kemalangan jalanraya kerana pemandu bas sibuk melayan SMS atau menggunakan telefon bimbit ketika memandu. Apakah kita harus memboikot AeroBus jika pemandu cuai masih dibiarkan berleluasa?

Salam Hormat,

HALIM AHMAD ZAKARIA

No comments:

Post a Comment