Friday 12 August 2011

PEMIMPIN MASYARAKAT PERLU INOVASI DAN KREATIF



SERAH ….. Kelihatan Radin menyerahkan peralatan kepada salah seorang pemimpin masyarakat tempatan.

Oleh: SIMON MAMAT

PEMIMPIN-pemimpin masyarakat akar umbi daerah Tenom diingatkan agar menjalankan tugas dan tanggung jawab melaksanakan amanah kerajaan kepada mereka secara gigih dan pro aktif dalam usaha untuk merealisasikan matlamat dan aspirasi kerajaan dengan lebih sempurna; seperti yang di sarankan Perdana Menteri Malaysia.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Radin Malleh berkata demikian ketika menyerahkan peralatan kemudahan pentadbiran Mahkamah kepada para Pemimpin Masyarakat Tempatan di Bilik Mesyuarat, Pejabat Daerah Tenom baru-baru ini.

Beliau menegaskan bahawa, Ketua Anak Negeri (KAN), Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), Ketua Kampung (K.K) dan Ketua Masyarakat Cina (KMC), perlu faham dan peka akan tanggung jawab mereka dari segi kerja-kerja pentadbiran di Mahkamah khususnya penyusunan data dan kerja-kerja memfailkan dokumen.

“Kita perlu dedahkan mereka dari segi tugas-tugas pentadbiran termasuklah menyusun profile kampung, data penduduk di bawah naungan tanggung jawab mereka sambil membantu pihak Pejabat Daerah mengenal pasti jumlah penduduk di bawah jagaan masing-masing,” jelas Radin.

Radin yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Melalap seterusnya berkata, jika terdapat penduduk yang diragui atau tidak dikenali indentitinya tinggal di sesebuah kampung terbabit, pemimpin di situ selaku agen kerajaan diharuskan melaporkan perkara itu kepada pihak berkenaan seperti pihak Pejabat Daerah, mahu pun pihak polis supaya tindakan lanjut dapat diambil.

“Kita tidak tidak mahu seseorang pemimpin masyarakat itu tidak mengambil tahu apa apa yang berlaku di sesebuah kampung di bawah jagaannya, apa lagi jika ianya tidak memberi penjelasan yang betul jumlah sebenar penduduk di kampung itu. Mereka mesti tahu penduduk di bawah jagaan mereka,” tegas Radin.

Beliau menambah, sebagai pemimpin setempat, mereka harus bertanggung jawab mengenal pasti keperluan penduduk yang tidak berpendapatan dan memerlukan kemudahan bantuan kerajaan; dan perlu melaporkan kepincangan itu kepada pihak Pejabat Daerah untuk tindakan seterusnya.

Radin turut mengingatkan bahawa sebagai pemimpin yang memegang pentabdiran adat istiadat mengikut kaum masing-masing harus menunjukkan sifat-sifat kepimpinan yang disenangi oleh rakyat, menyemai sikap keihklasan semasa menjalankan tugas kepada rakyat dengan penuh keterbukaan supaya rakyat mudah mendekati pemimpin.

“Perkara yang perlu menjadi larangan bagi diri seseorang sebagai pemimpin adalah sifat-sifat yang bertentangan dengan sifat amalan buruk seperti memilih bulu, tidak cekap dalam membuat keputusan dan tidak berinovasi semasa menjalankan tanggung jawabnya,” tegas beliau.

Sebaliknya tegas Radin, mereka harus mempamerkan suatu kepimpinan yang berkualiti dan beretika sebagai seorang pemimpin yang baik dan disegani supaya kita dapat menikmati satu kepimpinan yang berkualiti; kesannya memberi kebaikan kepada kerajaan untuk faedah rakyat.

Seramai 140 penerima yang hadir dalam majlis penyerahan tersebut daripada kawasan Kemabong dan Melalap.

Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Pentbdiran Clarence Puin Pinduru; Pemimpin Kemajuan Rakyat Blasius Masuning; Ketua Daerah OKK. David Jani dan KAN Edward Sibin.

No comments:

Post a Comment