Wednesday 17 August 2011

PEMUDA UMNO KAJI IMPAK PENDIDIKAN



BANTUAN…Jamawi menyampaikan bantuan dari Pergerakan Pemuda untuk program pendidikan kepada salah seorang guru semasa perjumpaan tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

PERGERAKAN Pemuda Umno Bahagian Tenom dari semasa ke semasa akan mengkaji keberkesanan setiap program pendidikan yang dianjurkan oleh pergerakan itu agar memberikan impak yang berkesan; bukan sahaja memperkasakan mutu pendidikan malah ke arah meningkatkan prestasi akademik pelajar.

Ketuanya, Jamawi Jaafar berkata, ini penting agar keberkesanan program pendidikan yang telah dan akan dilaksanakan di daerah itu mampu memperkasakan modal insan yang berkualiti, berpengetahuan dan berkemahiran bagi mengisi keperluan pembangunan Negara pada masa akan datang.

“Kita faham kedudukan pelajar di kawasan luar bandar jauh ketinggalan berbanding dengan pelajar di kawasan Bandar. Faktor kemudahan asas dan keperluan lain merupakan antara penyebab kepada ketidak kesimbangan ini. Justeru itu pemuda dengan kerjasama jabatan pelajaran dan sekolah akan terus menjalin kerjasama pintar untuk memperkasakan mutu pendidikan di daerah ini,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan pegawai pelajaran daerah dan guru-guru di daerah itu di Pejabat Pelajaran Tenom, kelmarin.

Hadir sama dalam perjumpaan tersebut Pegawai Pelajaran Daerah Tenom, Ajmal Haji Jumah.

Menurut Jamawi yang juga Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, pihaknya akan sentiasa mengadakan perbincangan bersama pejabat pelajaran daerah dan guru-guru mengenai kaedah yang berkesan bagi membantu pencpaian pelajar dalam bidang akademik.

Untuk itu Jamawi berkata satu program Motivasi Perdana dijangka akan diadakan pada awal September ini kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan PMR, SPM & STPM di daerah Tenom dengan menjemput seorang tokoh Motivasi, Datuk Dr. Fadhilah Kamsah yang dijangka akan disertai seramai 1,000 orang pelajar.

Dalam pada itu, katanya, semua pihak perlu menyokong usaha beterusan yang dilaksanakan kerajaan dalam memacu pendidikan negara ke tahap lebih tinggi.

Menurutnya, kebergantungan kepada sekolah dan guru-guru seharusnya tidak lagi menjadi sandaran, namun semua pihak perlu menjalin kerjasama erat bagi memperkasakan mutu pendidikan khususnya di daerah ini kerana menjadi keutamaan kerajaan bagi melahirkan generasi muda cemerlang dan seimbang dari semua aspek.

“Oleh itu, kerajaan tidak pernah lupa menyediakan kemudahan pendidikan kepada rakyatnya. Bagaimana pun, ia memerlukan sokongan semua pihak," katanya.

No comments:

Post a Comment