Sunday 7 August 2011

PENIAGA RAYU MPS TURUNKAN KADAR SEWA



ENAK....Kwok mengakui makanan tempatan lebih enak daripada masakan barat atau China.

Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE A JUMADI

KEWUJUDAN Bazar Ramadhan saban tahun yang dikendalikan oleh Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) merupakan satu rahmat kepada warga penjaja bagi menjana ekonomi, khususnya di musim menjelangnya hari raya aidilftri.

Dianggarkan lebih 200 lot yang disediakan oleh MPS untuk dijadikan gerai yang ditempatkan di sepanjang jalan Pantai di Pusat Bandar Sandakan bagi memberi laluan kepada warga Sandakan untuk mengambil bahagian berjaja di situ.

Gerai Bazar Ramadhan yang dibuka pada jam 1 petang hingga jam 6.00 mendapat sambutan yang amat menggalakkan, bukan sahaja kepada masyarakat setempat, bahkan juga kepada para pelancong asing yang berkunjung untuk membeli pelbagai jenis juadah yang terdapat di gerai tersebut.

Menurut Unit Penguatkuasa MPS yang meminta nama mereka tidak disiarkan, MPS telah menyediakan beberapa kategori gerai yang disewakan kepada para penjaja.

Sementara gerai barisan hadapan dikenakan tender (Tawaran Sebut Harga) dengan kadar bayaran sewaan selama 30 hari ialah RM500 hingga RM1,200

Manakala gerai atau lot yang terletak lebih jauh sedikit kadar bayaran sewaannya hanya dikenakan cuma RM85 sahaja sebulan.

MURTABAK....Mas Razak sedang menyediakan murtabak Jawa untuk pelanggannya.

Dalam tinjauan rambang kelmarin, Sabahkini.Net telah sempat menemubual beberapa penjaja di situ; antaranya Mas Abdul Razak Muspan yang menjual Murtabak Jawa; berpendapat kadar bayaran sewa lot antara RM500 hingga RM1,200 dalam tempoh sebulan dianggap sebagai menyusahkan para penjaja.

“Gerai yang saya sewa ini dipanggil gerai ‘rombengan’ dan hanya dikenakan bayaran hanya RM85 sebulan, namun berbaloi juga dengan hasil pendapatan jualan murtabak jawa. Saya jual dengan harga RM3 sekeping dan boleh juga laku sampai 200 keping sehari,” kata Mas Razak tersenyum bangga dengan rezeki yang diperolehinya.

Sementara Normah Mohd Senong yang menjual kuih muih dan makanan tradisi turut menjelaskan pembayaran sewa antara RM500 hingga RM1,200 memang agak berat tetapi beliau terpaksa akur kerana tiada sudah pilihan lain.

“Kita kesal kerana ada pihak yang melakukan penindasan terbuka terhadap peniaga tetapi dihalalkan melalui kadar sewa yang tinggi sehingga menyusahkan peniaga. Kami marah, tapi apa daya kami untuk menentang?,” ujar Normah yang merayu agar kadar sewa diturunkan bagi membolehkan mereka menyambut hari raya dengan lebih bermakna.

WAWANCARA….Normah sedang ditemubual oleh Wartawan Sabahkini.Net.

Walaupun pendapatan yang diterimanya agak lumayan, namun kos sewa yang tinggi dan bahan mentah yang mahal menyebabkan untung bersih yang diterima agak minima kerana persaingan amat hebat.

Dalam pada itu sekeluarga rakyat Hong Kong yang melawat ke negara ini sempat mengunjungi Bazar Ramadhan untuk membeli kuih-muih tradisi dan pelbagai jenis juadah masakan Melayu.

Ketika ditanya wartawan Sabahkini.Net, Kwok Yun Yee menjelaskan bahawa beliau pertama kali melawat Sabah dan keluarganya suka dengan aroma dan keunikan kuih muih dan masakan tradisi tempatan kerana sudah muak dengan makanan barat dan China.

Dalam pada itu, ramai peniaga mengakui menyewa gerai milik Ahli Majlis MPS dengan kadar antara RM3,000 sehingga RM5,000 sebulan namun meminta nama mereka dirahsiakan kerana bimbang gerai mereka akan ditarik balik.

Mengikut maklumat dalaman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menangkap lima orang Ahli Majlis MPS untuk siasatan berhubung dengan pemilikan gerai secara tidak sah dan menyewakan gerai dengan harga yang tinggi.

Bagaimanapun percubaan Sabahkini.net untuk mendapatkan pengesahan penangkapan berkenaan daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Pengarah SPRM Sabah tidak berjaya.

No comments:

Post a Comment