Wednesday 17 August 2011

PKR CABANG BEAUFORT SEMAKIN TENAT



TAHNIAH…Lajim bersalaman dengan Abdul Sani sambil disaksikan oleh Haji Osin, Insin dan Ishak selepas di majlis berkenaan.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Beaufort semakin lumpuh apabila Ketua Penerangannya, Abdul Sani Haji Insin bertindak keluar parti dan menyertai UMNO semalam.

Beliau yang berjuang dalam cabang PKR Beaufort sejak 1998 telah menyerahkan borang menyertai UMNO selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan cabang dan negeri.

Majlis penyerahan tersebut disaksikan dan diterima oleh Ketua Umno Bahagian Beaufort, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin di perkarangan Masjid kampung Pintas Gagahngi dan turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Umno Bahagian Beaufort, Isnin Haji Aliasnih; Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Beaufort Mohd.Ishak Haji Ibrahim dan bekas pemimpin Umno bahagian Beaufort Haji Osin Haji Jilon.

"Tiada apa-apa lagi untuk dipertahankan di Beaufort. Semua perjuangan kami dalam PKR sia-sia. Kami juga sudah bosan dengan masalah yang berlaku di kalangan pemimpin PKR sendiri,” jelas Abdul Sani ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

TERBAIK…..Haji Osin menunjukan tanda bagus atas keputusan Abdul Sani meninggalkan PKR sambil disaksikan oleh Isnin dan Ishak di majlis tersebut.

Abdul Sani yakin, selepas ini akan lebih ramai lagi ahli PKR cabang Beaufort akan mengikut jejak langkahnya, kerana sebelum ini Camarlin Haji Loksin yang juga bekas Ketua Penerangan PKR Cabang Beaufort bersama hampir 100 orang ahli mengumumkan keluar parti dan menyertai Umno pada awal tahun ini.

Abdul Sani berkata, keputusan mereka untuk menyertai UMNO atas kesedaran terhadap kesungguhan parti itu menerusi Barisan Nasional membangunkan rakyat dan menyediakan kemudahan asas di semua daerah.

Sementara itu, Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, pada asasnya PKR Beaufort kini semakin lumpuh apabila pemimpin kanan parti meninggalkan parti tersebut dan menyertai Barisan Nasional khususnya Umno

“Tiada syarat kemasukan mereka ini. Kita sedar mereka mula menginsafi perjuangan sia-sia PKR yang hanya memperjuangan individu tertentu sahaja dalam PKR. Pemikiran mereka yang meninggalkan PKR ini jauh ke hadapan dengan melihat politik pembangunan, bukan politik sempit dan tiada arah perjuangan yang jelas,” katanya.

No comments:

Post a Comment