Wednesday 17 August 2011

PROGRAM UMRAH PEMUDA UMNO SEMPORNA



Oleh : MOHD SYAM MOHD MUKSAN

PEJABAT Urusetia Pergerakan Pemuda UMNO Semporna mengucapkan jutaan terima kasih terhadap sokongan semua lapisan masyarakat kerana menyokong apa juga aktiviti dan program yang dirancang dan seterusnya dilaksanakan sebaik mungkin demi kepentingan masyarakat setempat.

Pihak urusetia juga tidak lupa kepada golongan belia dan pemuda yang sentiasa bersama memberikan dokongan terhadap perjalanan semua aktiviti sepanjang Pergerakan Pemuda UMNO Semporna diterajui oleh kepimpinan Ahli Jawatankuasa yang ada sekarang.

Kesetiaan dan sokongan serta pandangan dan kritikan daripada semua lapisan amat berharga sebagai medium kepada kematangan dan pemikiran yang dinamik yang akhirnya memberikan satu keputusan untuk melaksanakan apa juga aktiviti dan program yang telah dirancang.

Program Ziarah Umrah ke Tanah Suci merupakan intipati dan hasrat yang murni bagi memberikan pengalaman dan ibadat kepada kepimpinan muda Pergerakan Pemuda UMNO Semporna.

Maka pada 21 Mei 2011 saya bersama keluarga mengerjakan umrah ke Tanah Suci, dan pengalaman ini amat berharga yang sukar dicerita dan diucapkan kepada rakan-rakan melainkan dengan mengunjungi sendiri tempat rumah Allah SWT itu maka dapat dirasai nikmat kebesaran Ilahi di tanah anbia.

Justeru itu sekembalinya saya daripada mengerjakan umrah pada 3 Jun 2011 dengan niat yang baik saya mencadangkan kepada pihak Urusetia Pergerakan Pemuda UMNO Semporna khasnya Ketua Pergerakan Pemuda, Setiausaha, Bendahari dan rakan-rakan ahli jawatankuasa untuk merancang Program Ziarah Umrah sebagai ‘Perjalanan dan Penyucian Jiwa’ yang tidak dapat diperolehi di tempat-tempat lain melainkan di Tanah Suci Makkah.

Dengan berkat dan izin Allah SWT idea itu dapat disempurnakan dengan baik dan cepat. Hasil perkongsian idea dan kewangan yang bijak maka Program Ziarah Umrah ini dapat direalisasikan sebagai program Pergerakan Pemuda UMNO Semporna yang julung-julung kali diadakan.

Pengorbanan rakan-rakan dalam membentuk satu pasukan diterjemahkan dan dihargai dengan niat yang murni ini sebagai sokongan pihak urusetia kepada mereka. Program ini tidak melibatkan mana-mana pihak untuk mengaturnya terutama pelbagai kos perbelanjaan tetapi atas daya usaha dan perkongsian yang kolektif antara kepimpinan pergerakan terutama Ketua, Naib Ketua, Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan dan Ahli Jawatankuasa tugas ini akhirnya menjadi ringan dan menjadi kenyataan.

Mesyuarat yang diadakan untuk membincangkan program ini telah dipersetujui kesemua Ahli Jawatankuasa yang hadir. Malah seorang Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO (Abd Malik Hj Mohd Tahir) yang tidak dapat mengikuti program ini.

Namun dengan niat yang murni sebagai tanda sokongan telah menghulurkan sumbangan (duit poket) kepada semua ahli rombongan. Terima kasih untuk anda sahabat yang pemurah semoga rezeki mu akan dirahmati Allah SWT.

Tidak cukup dengan itu Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Semporna, Haji Abd. Azis Haji Mohd Ibnu telah membiayai kos perjalanan dan penginapan daripada Daerah Semporna ke Kota Kinabalu dan memberikan wang saku serta segulung sejadah kepada semua ahli rombongan semasa di Tanah Suci Makkah.

Selebihnya adalah atas inisiatif Ketua Pemuda, Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Semporna. Maka dengan ini program yang murni ini tidak melibatkan mana-mana pihak kepimpinan dan bekas pemimpin di Bahagian Semporna.

Berkaitan dengan perasmian kursus bagi jamaah umrah yang diadakan DUN Bugaya pada mulanya pihak Pejabat Urusetia telah menjemput Yang Berhormat DUN Bugaya, tetapi oleh kerana beliau berada di luar negara maka pihak urusetia menjemput Yang Berhormat DUN Senalang untuk merasmikannya sebagai tanda sokongan bukannya atas dasar perkaitan dengan kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Semporna.

Pergerakan Pemuda UMNO Semporna akan sentiasa menerima semua pandangan dan kritikan, apapun pihak pergerakan ini akan berfokus kepada kerja-kerja dan klien yang tepat bukan kepada mana-mana individu yang menjadi personalia jumud dan hilang fitrah diri.

Seorang penulis berkata, kedatangan ke Baitullah membuka peluang yang luas untuk insan muslim mukmin menyelamatkan ‘fitrah’ dirinya daripada terus hilang dek hanyut dibawa arus persekitaran negetif.

Hilang fitrah diri bermaksud seseorang telah hilang kesemua atau sebahagian besar ciri-ciri fitrah yang dinyatakan itu hingga akhirnya meletakkan dirinya dalam keraguan dan kebimbangan yang tiada hentinya.

Roh diri menjadi sempit, rasa terkongkong dan tidak lepas bebas, pemikiran dan perasaan tidak melepasi dan melampaui, pelbagai halangan muncul dalam diri yang mengajak kepada kegagalan, kekecewaan dan kesedihan.

Kemuncak kepada kehilangan fitrah ini sudah tentu hilang kepercayaan diri kepada Allah sebagai Ilahi yang wajib disembah dan tempat bermohon dan diri mula berburuk sangka terhadap Allah yang bersifat al-Rahman da al-Rahim. Pada peringkat ini dikhuatiri syahadah boleh terbatal secara disedari atau tanpa disedari.

Diharapkan kepada semua rakan yang mengikuti program ini akan terus mengekalkan keinsafan dan momuntem ibadat sepenuhnya untuk terus dilandasan yang benar, apapun jika berlaku sebaliknya itu adalah diluar kemampuan pihak urusetia untuk memantaunya kerana itu adalah kekuasaan dan kebesaran Allah SWT.

Kepada semua rakan belia, pemuda dan Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Semporna pihak urusetia mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan dan penghargaan kalian dan pergerakan ini akan sentiasa menjadi rakan pembela rakyat untuk anda semua.

No comments:

Post a Comment