Tuesday 9 August 2011

RAIMI GESA KKLW KURANGKAN POLITIKING


TERGENDALA....Raimi kesal kerana Pusat Giat Mara Tenom tergendala sejak sekian lama.

Oleh : MUTALIB M.D

KEMENTERIAN Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) wajar menyalurkan terus peruntukan khas kepada Giat Mara bagi memberi peluang kepada bekas pelajar menyiapkan Projek Pusat Giat Mara Tenom yang terbengkalai sejak dua tahun lalu

Ahli Parlimen Malaysia (Tenom), Datuk Raimi Unggi membuat gesaan demikian selepas melakukan lawatan kerja ke lokasi projek tergendala berkenaan baru-baru ini.

“Jika pelatih Giat Mara di Semenanjung Malaysia diberi kepercayaan untuk membina dan membaik pulih rumah penduduk miskin, kenapa bekas pelajar Giat Mara di Sabah tidak diberikan peluang untuk menyiapkan projek Pusat Giat Mara Tenom yang tergendala kerana kontraktor asal ditamatkan kontrak dan kini sedang dalam proses memanggil tender baru,” kata Raimi yang menggesa agar KKLW mengurangkan politiking demi memastikan projek tergendala berkenaan dapat disiapkan dan digunakan segera.

REPUT....Bangunan asrama di Pusat Kebudayaan Murut tidak lagi selamat kerana mengalami kereputan.

Tegas Raimi, rakyat Tenom marah dan terkilan kerana projek berkenaan telah tergendala begitu lama dan menggesa agar projek ini diberi keutamaan untuk disiapkan pada tahun ini juga kerana struktur asal telah siap 80 peratus.

“Setelah saya berbincang dengan Pusat Giat Mara Tenom dan mereka memberi jaminan, pelatih mereka mampu menyiapkan projek tergendala berkenaan jika peruntukan khas diberikan KKLW,” kata Raimi yang kecewa kerana Pusat Giat Mara Tenom terpaksa menumpang di Pusat Kebudayaan Murut yang tidak sesuai sebagai pusat latihan kerana kekurangan prasarana.

Selain masalah tempat tinggal yang terhad, sudah terlalu uzur dan tidak mempunyai lengkapan, para pelajar terpaksa belajar di bilik kuliah yang tidak selesa sehingga menghilangkan tumpuan mereka terhadap pelajaran.

BISU....Pelajar ini menunjukkan papan tanda yang berbunyi 'Jangan Tunggu Hari Esok, kalu Boleh Buat Hari Ini' sebagai bahasa bisu yang mudah dimengertikan oleh KKLW.

Memandangkan projek tergendala berkenaan dilaksanakan oleh kontraktor, maka sewajarnya KKLW tidak lagi memanggil tender kerana Pusat Giat Mara Tenom mampu menyiapkan projek berkenaan; sekaligus mengurangkan kebimbangan projek tergendala lagi jika kontraktor yang dilantik gagal menyiapkan projek tersebut.

Selain menjadi isu hangat pembangkang, projek yang amat penting ini juga merencatkan perancangan kerajaan untuk melahirkan lebih ramai teknokrat negara terutama dalam bidang pembinaan, kimpalan, jahitan dan pelbagai sektor kepakaran lain.

“Ketepatan masa (Punctuality) amat penting dalam sektor latihan dan pendidikan kerana setiap kendala akan menyebabkan hasrat Kerajaan Negeri Sabah untuk menjadi negeri maju pada 2015 akan terbantut jika Pusat Giat Mara ini tidak dapat disiapkan pada tahun ini,” kata Raimi yang membayangkan akan menemui Pengerusi MARA, Datuk Seri Idris Jusoh dalam masa terdekat.

PERIKSA.....Raimi dan pegawainya sedang berbincang di tapak projek Pusat Giat Mara yang terbengkalai.

Raimi turut mengalu-alukan peruntukan sejumlah RM72.9 juta daripada KKLW kepada Giat Mara bagi membina dan membaik pulih rumah penduduk miskin di seluruh negara untuk tahun ini.

“Saya mengalu-alukan pengumuman Pengerusi Giat Mara, Datuk Shahiruddin Ab Moin bahawa Giat Mara akan membina 287 buah rumah baru dan 5,000 buah rumah akan dibaik pulih untuk rakyat termiskin di seluruh negara. Kalau boleh jangan sisihkan Tenom,” ujar Raimi yang menggesa akan KKLW memberi peruntukan khas kepada Pusat Giat Mara Tenom.

No comments:

Post a Comment