Wednesday 10 August 2011

RUJUK ISU RUMAH ROSAK KEPADA PEMAJU



SERAH SUMBANGAN…Lajim diiringi oleh Isnin menyampaikan sumbangan wang zakat kepada salah seorang saudara baru sempena majlis tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

PARA pembeli rumah di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) disaran merujuk kepada pihak SPNB terhadap sebarang permasalahan yang wujud berkenaan premis rumah yang dibeli.

Ia berikutan berlakunya ketidakpuashati pembeli rumah SPNB seperti kunci rumah masih belum diserahkan kepada para pembeli disebabkan beberapa kerosakan yang belum diperbaiki oleh pihak SPNB.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata, oleh kerana bukan dalam bidang kuasa kementerian beliau, para pembeli boleh merujuknya terus kepada pihak SPNB

Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas isu ketidak puasan pembeli rumah di bawah SPNB yang menghadapi pelbagai masalah ketika mereka (pembeli) mula memasuki rumah yang mereka beli daripada syarikat berkenaan.

Menurut Lajim, beliau yakin dan percaya kerajaan tidak akan mengecewakan rakyat dan para pembeli rumah di bawah tajaan SPNB kerana setiap masalah sudah pasti akan diselesaikan sebaik mungkin.

“Kerajaan Barisan Nasional adalah kerajaan yang prihatin, bertanggungjawab. Saya penuh keyakinan bahawa SPNB akan memperbaiki apa yang mereka rasa dan dirasai oleh pihak pembeli,” katanya.

Terdahulu dari itu Lajim turut meghadiri majlis berbuka puasa bersama anggota perkhidmatan awam di Masjid Daerah Beaufort dan beliau turut menyampaikan bantuan zakat dan sumbangan beras kepada 220 fakir miskin dan mualaf sekitar Daerah Beaufort bagi meringankan beban sempena Bulan Ramadhan dan Aidilfitri yang menjelang tiba nanti.

Berucap di majlis tersebut Lajim yang juga Ketua Umno Bahagian Beaufort berharap para penjawat awam perlu berani menilai dan mengkaji semula amalan-amalan masa kini bagi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan.

Lajim memberitahu bagi menzahirkan hasrat kerajaan mencapai kejayaan dalam sektor pembangunan Negara untuk menjadi sebuah Negara maju anggota perkhidmatan awam perlu melaksanakan usaha inovasi dan penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan.

''Dalam menjayakan gagasan besar negara, semua tindakan pelaksanaan kita hendaklah berpaksikan kepada membuat sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan dan mencari penyelesaian kreatif dalam mencapai matlamat akhir pembangunan negara," katanya

Hadir sama di majlis tersebut Wakil Rakyat Lumadan Kamarlin Haji Ombi, Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Insfrastruktur Isnin Haji Aliasnih dan Penolong Pgawai Daerah Beaufort, Jupry Etok.

No comments:

Post a Comment