Tuesday 2 August 2011

SAPP TENOM CAKAP SERUPA BIKIN


Oleh: MEDIA SAPP

KEPIMPINAN SAPP CLC Melalap, Tenom beriltizam untuk membantu meringankan beban rakyat, tidak sekadar dengan ungkapan kata-kata kosong, malah dilakukan secara serius tanpa banyak bicara dengan memberi bantuan segera kepada rakyat.

Tindakan SAPP khususnya Pergerakan Pemudanya yang diketuai Rudy Sulaiman Mairi, dapat dilihat apabila beliau membawa sekumpulan pemuda parti itu bergotong royong membantu memasang ‘gabion’ berhampiran rumah penduduk Don Ambulei di Kg Pulong yang terjejas teruk akibat hakisan sungai ketika banjir baru-baru ini.

Turut serta dalam gotong-royong tersebut, Naib Presiden SAPP yang juga merupakan Ketua SAPP CLC Tenom dan Kemabong, Jimmy Jawatah yang meringankan tangan membantu menjayakan gotong-royong tersebut.

“Sebenarnya, amalan bergotong-royong ini memang sudah wujud sejak dahulu lagi tetapi disebabkan pengaruh arus kemodenan budaya seperti ini yang semakin terhakis di kalangan masyarakat bumiputra, khususnya masyarakat KDM,” tegas Jimmy ketika dihubungi media semasa gotong-royong itu berlangsung.

Jimmy berkata, amalan dan budaya bergotong-royong atau dalam bahasa Murut ‘Maguguyuh’ atau dalam bahasa Dusun ‘Mitatabang’ merupakan satu amalan yang perlu diteruskan kerana akan mewujudkan semangat setiakawan, tolong menolong dan kesepakatan dalam menghadapi situasi yang amat genting.

Dalam pada itu, seorang penduduk Kg Pulong Don Ambulei yang menghadapi masalah hakisan sungai kerana rumahnya hampir-hampir runtuh akibat hakisan itu, merasa amat tertekan menghadapi masalah tersebut kerana rumahnya berisiko untuk dihanyutkan air sungai jika banjir kilat berlaku di masa akan datang.

Lantaran itu, beliau tidak menyalahkan Pengerusi JKKK di situ kerana telah mengambil tindakan yang proaktif untuk menangani masalah tersebut, namun beliau agak terkilan kerana pihak tertentu dalam kerajaan BN yang lalai mengambil tindakan tersebut.

Beliau bersyukur dan berterima kasih kepada Pergerakan Pemuda SAPP kerana prihatin akan masalah rakyat dan tidak membuang masa yang panjang untuk melaksanakan kerja kerja memasang ‘gabion’ untuk menahan tebingan sungai daripada terus meruntuhkan rumahnya.

No comments:

Post a Comment