Monday 22 August 2011

SKANDAL PENYELEWENGAN SUBSIDI DIESEL



Oleh : SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

PEMBERIAN Diesel bersubsidi oleh kerajaan kepada para nelayan bertujuan untuk membantu golongan berpendapatan rendah dalam meningkatkan taraf kehidupan mereka.

Bantuan diesel bersubsidi yang diberikan Kerajaan kepada para nelayan ini telah disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu apabila berlaku rasuah dan penyelewengan. Keadaan ini menimbulkan keraguan dan kebimbangan di kalangan rakyat kerana jika penyelewengan diesel bersubsidi ini berlaku, bermakna telah melibatkan penyelewengan wang rakyat dan usaha membantu golongan berpendapatan rendah akan terbantut.

Adalah dianggarkan Kerajaan menanggung kerugian sebanyak RM257 juta bagi tempoh lima tahun atau purata RM50 juta setahun. Perkiraan ini dibuat berasaskan anggaran paling minimum iaitu lima peratus daripada jumlah subsidi yang diluluskan Kerajaan untuk golongan nelayan. Bagi tempoh lima tahun iaitu 2006 hingga 2010, Kerajaan telah meluluskan peruntukan subsidi diesel sebanyak 5.1 billion liter kepada nelayan.

Berdasarkan maklumat dan aduan yang diperolehi, terdapat individu-individu yang terlibat dalam penyelewengan diesel ini telah memberi suapan kepada pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi mengelakkan diri daripada dikenakan sebarang tindakan ke atas penyelewengan diesel yang telah dilakukan.

Manakala Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) dikatakan menjadi dalang kepada penyelewengan subsidi diesel bernilai jutaan ringgit ini. Turut dilaporkan yang menjadi ejen perantara dalam isu ini ialah pengusaha jeti, pemilik bot, pemilik tangki minyak haram dan individu yang memiliki depot.

Apa yang menarik dalam kes ini ialah jenayah rasuah, penyelewengan dan ketirisan subsidi diesel dibongkar hasil daripada risikan bersama 80 orang anggota serta pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPPNKK).

Dalam operasi yang dinamakan ‘Ops Nano’, SPRM dan KPDNKK telah berjaya menahan 36 individu serta menyita 458,000 liter diesel bernilai lebih setengah juta ringgit. Wang suapan bernilai RM90,000.00 turut dirampas daripada anggota Persatuan Nelayan Kawasan (PNK).

Mereka yang ditahan adalah terdiri daripada 16 orang di Perak, tujuh orang di Sarawak, lima orang di Pahang, dua orang di Kedah, tiga orang di Johor dan seorang di Perlis. Kesemua individu yang ditahan terdiri daripada tujuh pengusaha jualan diesel, ejen PNK, pengusaha jeti, ‘orang tengah’ dan pemandu lori tangki.

Ketirisan diesel ini dikesan bermula dari depoh kerajaan yang menjual bekalan bahan bakar itu kepada PNK, kilang, kawasan sempadan dan tangki simpanan bekalan. Bermula daripada ejen PNK, bekalan itu akan dijual kepada tangki simpanan bekalan dan bot nelayan yang seterusnya dijual kepada peraih kapal tangki, bot nelayan asing, kilang atau ke sempadan.

Dalam pada itu, sistem dan prosedur berhubung kemampuan penggunaan teknologi nanotag dalam pengurusan subsidi diesel mula dipersoalkan. Begitu juga dengan keberkesanan sistem fleet card e-diesel sehinggakan penyelewengan dan ketirisan masih tetap berlaku.

Kadar permintaan terhadap minyak diesel bersubsidi yang tinggi di kalangan pengusaha industri adalah antara faktor utama ketirisan ini. Harga jualan diesel subsidi secara haram ini jauh lebih rendah berbanding harga yang dikenakan kepada pihak industri.

Semasa operasi dijalankan, harga diesel bersubsidi bagi nelayan ditetapkan pada kadar RM1.25 seliter manakala bagi pengusaha industri pula pada kadar RM1.90 seliter. Harga jualan diesel bersubsidi di pasaran gelap adalah di antara RM1.60 seliter ke RM1.70 seliter.

Diesel bersubsidi untuk golongan nelayan ini juga bukan sahaja mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pengusaha industri tempatan, malah menarik minat pemborong-pemborong di negara-negara jiran.

Dalam hal ini, berlaku pula kes penyeludupan diesel bersubsidi ke negara-negara berkenaan. Kesannya, golongan nelayan tetap miskin kerana tidak dapat menikmati kemudahan yang disediakan oleh kerajaan bagi membantu meningkatkan pendapatan dan memajukan kehidupan mereka.

Isu ketirisan ini tidak akan berakhir dengan hanya bergantung kepada penguatkuasaan yang tegas sahaja, malah semua pihak yang bertanggungjawab perlu sentiasa melaksanakan tugas, menyelia serta membuat pemantauan berterusan.

Sehubungan dengan itu, satu kajian menyeluruh dijalankan oleh SPRM bersama KPDNKK bagi mengenalpasti kelemahan dalam sistem dan prosedur serta tatacara pengagihan diesel bersubsidi.

No comments:

Post a Comment