Tuesday 2 August 2011

SOOK TELAH BERUBAH WAJAH



RASMI….Kurup dan Ellron memotong riben tanda rasminya penambahan dapur balai raya kg.Pauh Tulid, Sook.

Oleh : ROZIE JUMAT

PEMBANGUNAN memerlukan masa untuk dilaksanakan, namun bagi kawasan DUN Sook banyak perubahan telah berlaku di kawasan itu. Rakyat juga telah menikmati hasil pembangunan yang dibawakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup berkata, Sook pada hari ini telah banyak berubah. Bermula dari sebuah kawasan yang dikategorikan terpencil dan jauh dari pusat Bandar. Namun pada hari ini Sook telah berubah wajah.

“Pembangunan dan kemajuan datang satu persatu ke kawasan ini, kita juga menyelesaikan masalah-masalah rakyat, namun semua itu memerlukan masa,” kata Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Katanya, Bekalan Air Luar Bandar di kawasan itu juga kini tidak lama lagi akan dimulakan selepas sahaja proses tender diadakan.

“Bekalan air ini akan menyelesaikan masalah air di kawasan Mukim Lanas sehingga ke Sook dengn kos RM93 juta,” kata Kurup. Beliau berkata demikian di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kg.Pauh Tulid, Sook. Terdahulu beliau melepaskan ikan di Sungai Sook bagi program tagal di kampong itu.

Turut hadir sama , Adun Sook Datuk Ellron Angin.

Beliau juga berkata, sebuah lagi projek pembangunan yang akan dilaksana di kawasan itu, telah diluluskan oleh kerajaan Persekutuan bakal diumumkan oleh Perdana Menteri tidak lama lagi.

“Oleh yang demikian kita haruslah mempertahankan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang prihatin dan berjasa kepada kita,” kata Kurup.

No comments:

Post a Comment