Tuesday 23 August 2011

TAMAN MESRA YANG TIDAK MESRA RAKYAT



KESAL…..Awang Sham kesal kerana MPS gagal selenggara Taman Mesra.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

TIMBALAN Ketua Bahagian UMNO Sandakan, Datuk Awang Sham Awang Amit membidas sekeras-kerasnya pentadbiran Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang didakwa tidak proaktif menjalankan tugas menyelenggara kawasan taman perumahan.

Bidasan ini jelas kerana kawasan Taman Mesra amat menyedikan apabila terdapat banyak kerosakan seperti saluran pembentungan najis tersumbat tidak pernah diambil tindakan oleh pihak MPS, malahan dibiarkan begitu sahaja sekian lama, sehingga mencetuskan kemarahan penduduk setempat.

Ramai penduduk yang membuat aduan mengenai kebocoran paip dan kerosakan lampu di beberapa bangunan Blok di bawah seliaan MPS; termasuk kerosakan lampu, terutama yang malap dan tidak pernah diganti, malah tetap mengenakan caj pengunaan purata RM9 bagi setiap rumah.

Awang Sham berkata, ekoran kegagalan para pegawai dan kakitangan MPS menjalankan tugas mereka mengakibatkan ramai masyarakat marah kepada kerajaan BN, kerana MPS telah dikenalpasti sebagai bakal menjadi penyumbang kepada kekalahan calon-calon BN, khususnya di kawasan bandar pada pilihanraya umum ke 13 nanti.

“Saya tidak berdiam diri dan akan membawa perkara ini ke pengetahuan Ketua Menteri untuk dikaji selidik KPI pegawai dan kakitangan MPS yang tidak amanah dan tidak berpotensi menjalankan tugas mereka sebagai penjawat awam,” kata Awang Sham yang mencadangkan tindakan tatatertib diambil terhadap pegawai yang cuai.

Katanya lagi, penduduk Taman Mesra merupakan pengundi tegar Barisan Nasional (BN) dan beliau tidak mahu gara-gara tindak tanduk MPS, rakyat akan hilang kepercayaan kepada sistem pentadbiran kerajaan BN sekarang dan paling membimbangkan mereka menukar fikiran untuk memberi peluang kepada parti pembangkang.

“Perbuatan MPS ini akan memberi kesan buruk kepada para pemimpin BN/UMNO kerana telah membuka peluang dan jalan seluas-luasnya kepada parti pembangkang untuk mencipta isu dan propaganda mengenai kelemahan sistem pentadbiran kerajaan negeri,” tambahnhya lagi.

No comments:

Post a Comment