Friday 5 August 2011

TOMBONUO IKTIRAF RAHIM BAKRI



BISIK…. Rahim Bakri (kanan) sedang membisikkan sesuatu kepada Akian.

Oleh : MEDIA TOMBONUO

PRESIDEN Persatuan Bangsa Tombonuo Pitas Sabah (PBTPS) Akian Ahkiew menyuarakan penghargaan terhadap kualiti kepimpinan Datuk Rahim Bakri sebagai Ahli Parlimen Kudat.

Dalam ucapan beliau di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat baru-baru ini di Pitas, Kudat, Akian sebagai Presiden PBTPS yang telah menganjur majlis tersebut, mengakui kepimpinan Rahim sebagai dinamik dan progresif, dengan sikap yang aktif dan sangat prihatin kepada situasi dan keperluan para penduduk di Kudat.

“Malahan pada hari ini juga, dalam majlis ini, Datuk Rahim menunjukkan sikap prihatin ini kepada kita, dengan menghulurkan bantuan-bantuan untuk rakyat di sini,” ujarnya yang memperakui Rahim akan menghulurkan buah tangan sebagai tanda kasih dan sayang, dalam bentuk material dan wang tunai untuk meringankan beban rakyat.

Di majlis yang sama, para penari Tombonuo yang telah membawa tarian sumanggak ke dalam Malaysia Book of Records juga telah diberi penghargaan dalam bentuk wang tunai. Untuk itu Akian menasihati mereka agar menanggap pemberian itu sebagai perangsang untuk terus maju, untuk terus aktif dan bersemangat, dalam bergiat dalam bidang seni tradisional Tombonuo.

BANTUAN…..Rahim bersama Akian dan para pemimpin PBTPS yang lain menyampaikan bantuan beras kepada para penduduk Kg. Tombilidon.

“Sebagaimana yang kita sudah sedia maklum, para penari kita ini telah membawa kebanggaan kepada masyarakat Tombonuo, apabila di bulan lalu, mereka telah berjaya mencipta rekod dalam The Malaysia Book of Records, kerana mengambil bahagian dalam satu marathon tarian,” katanya seraya mengucap tahniah sekali lagi sebagai pembakar semangat mereka untuk menempa lebih banyak lagi kejayaan di masa hadapan.

Akian juga mengumumkan bahawa PBTPS sudah menubuhkan satu Biro Kebudayaan untuk mempromosikan budaya Tombonuo, bukan sahaja ke peringkat negeri, tetapi jika boleh, ke peringkat nasional.

“Harapan kita di Pitas ini, ialah supaya di satu hari nanti dengan bantuan kerajaan Barisan Nasional, kita akan berupaya untuk mengeluarkan banyak hasil pertanian dan perikanan yang banyak,” katanya.

Bila ini sudah tercapai, kata Ahkian, maka kebanyakan masalah ekonomi rakyat, terutama dari segi permakanan, akan selesai kerana beliau mahu melihat masyarakat Tombonuo dapat menjadi pengeluar makanan yang cukup, bukan sahaja untuk kegunaan sendiri, tetapi juga untuk dipasarkan secara komersil.

TARIK……Para hadirin sempat menyertai acara sukan tradisional, seperti tarik tali.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan masyarakat Tombonuo turut-serta dalam proses pembangunan ekonomi dan mendapat banyak lagi peluang untuk dalam proses kemajuan.

“Kita sedar, di bawah kepimpinan Datuk Rahim, kawasan Kudat sedang giat membangun,” tambahnya yang percaya Rahim mempunyai perancangan untuk rakyat Tombonuo, sambil memberi jaminan akan berdiri teguh di belakang beliau dan ADUN Pitas, Datuk Bolkiah Haji Ismail.

Dalam majlis itu Rahim telah menyampaikan sumbangan wang tunai dan juga beras kepada ramai para penduduk di Kampung Tombilidon. Beliau juga telah mengesahkan bahawa peruntukan untuk pembaikan Dewan Masyarakat di kampung itu dan menaiktaraf jalan raya ke Kg. Dandun akan dikeluarkan secepat mungkin.

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Syabas kepada Presiden PBTPS yang baru kerana aktifnya beliau menganjurkan pelbagai aktiviti untuk orang Sungai-Tombonuo.

    Semoga warga Tombonuo terus maju ke depan.

    http://koss.forumms.net/t20-tombonuo-iktiraf-rahim-bakri#27

    ReplyDelete