Tuesday 9 August 2011

UMAT ISLAM DI SABAH MAKMUR



SERAH….Lajim ketika menyerahkan bantuan tangki air kepada salah seorang penduduk di majlis tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

UMAT Islam di negara ini seharusnya bersyukur dengan kemakmuran yang dikecapi selama ini sehingga mereka dapat mengerjakan ibadat termasuk berpuasa di bulan Ramadhan tanpa sebarang gangguan

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Ukin berkata, untuk itu seharusnya kemakmuran yang ada ini dilestarikan dan dikekalkan kerana keistimewaan tersebut meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang sentiasa dipandang tinggi di peringkat antarabangsa.

"Kita seharusnya bersyukur kerana hidup di dalam negara yang aman makmur dengan sikap toleransi serta memahami kehendak agama yang berbeza di kalangan penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kepercayaan.

"Kita bebas menjalankan keperluan agama masing-masing tanpa ada kegusaran dan ketakutan terhadap sebarang aktiviti ekstremis agama,” katanya ketika berucap di majlis Ziarah Ramadhan dan Program Berbuka Puasa bersama Umat Islam di masjid Pekan Menumbok, kelmarin.

Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Menumbok Ag.Tajudin Hj Ag.Bahar; Timbalan Ketua Umno Bahagian Beaufort Isnin Haji Aliasnih; Bendahari Umno Bahagian Zahari Mohd.Zinin dan Pengerusi Penganjur Pg. Haji Jaafar Pg.Osman

Menurut Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort, bersempena dengan Ramadhan ini, umat Islam seharusnya memenuhi bulan mulia ini dengan pelbagai aktiviti yang dituntut iaitu memperbanyakkan bacaan al-Quran, bertadarrus, berselawat, bersedekah, qiamullail serta iktikaf di masjid.

Malah menurut beliau program-program ziarah ramadhan dan majlis-majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh pelbagai pihak perlu dimanfaatkan oleh masyarakat Islam dan masyarakat yang lain sebagai wadah pertemuan untuk memperkukuhkan hubungan silatulrahim, sebagai mana yang ditekankan dalam Gagasan 1 Malaysia.

Selepas majlis tersebut, Lajim juga turut menyampaikan bantuan tangki air kepada 255 penduduk yang layak menerima bantuan tersebut sebagai persediaan mereka menyimpan stok bekalan air semasa musim perayaan hari raya tahun ini kerana umum mengetahui bekalan air ke Daerah Kecil Menumbok sering kali mengalamai gangguan.

No comments:

Post a Comment