Wednesday 17 August 2011

UPKO TENOM BIDAS RAHMAN DAHLAN



Oleh: MEDIA UPKO TENOM

PEMIMPIN United Pasokmomogun Kadazandusun dan Murut Organisatioan (UPKO) Tenom, Biyou Bin Suyan, menyelar keras kenyataan Setiausaha Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan sebagai ‘cakap tidak serupa bikin’ kerana menghalang pemimpin parti komponen BN lain membuat kenyataan; kononnya untuk mengelakkan provokatif.

Malahan Umno bebas berkata sesuatu untuk kepentingan parti itu, sebaliknya semua parti komponen lain dilarang dengan berbagai alasan; tetapi Umno boleh berkata apa sahaja yang ada kepentingan dengan parti itu.

Tegasnya, halangan itu jelas mencerminkan ketidak terbukaan gabungan itu untuk membolehkan parti-parti lain dalam komponen BN bagi meluahkan pandangan yang juga merupakan sebagai haknya untuk berbuat demikian.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini pada Selasa sebagai mengulas kenyataan Setiausaha BN Sabah berhubung kenyataan pemimpin LDP yang mahu menuntut kawasan yang dipegang SAPP sekarang diberikan kuota itu kepada LDP untuk bertanding pada Pilihanraya umum ke-13 kelak.

Pada Isnin, Presiden LDP Datuk V.K Liew dalam kenyataannya menyatakan hasrat parti itu agar enam kerusi yang diduduki pemimpin SAPP sekarang diperuntukkan kepada LDP yang juga merupakan satu satunya parti tempatan yang layak menuntut kerusi tersebut.

Dalam pada itu, Biyou seterusnya berkata bahawa pihak Umno juga pernah suatu ketika dahulu menyuarakan pandangannya secara terbuka menuntut kawasan Parlimen Putatan supaya dikembalikan kepada kuota Umno termasuk kawasan Parlimen Pensiangan.

Bagaimana pun tambah Biyou, ianya dilihat sebagai cadangan dan pandangan Umno semata-mata; walaupun cara penyampaian niat Umno itu menyinggung perasaan parti parti lain dalam komponen BN khususnya UPKO.

Tegasnya, beliau tidak melihat luahan hasrat dan cadangan pemimpin LDP itu sebagai provokasi dan seterusnya boleh menimbulkan salah faham dalam gabungan itu, namun pada hakikatnya LDP juga mempunyai hak yang sama dengan parti-parti lain dalam komponen BN sepertimana konsep perkongsian kuasa.

No comments:

Post a Comment