Saturday 13 August 2011

USBO KINI AHLI GABUNGAN BN



Oleh : MUTALIB M.D

PERSATUAN Bajau Sabah Bersatu (USBO) kini sebagai salah satu daripada empat Badan Bukan Kerajaan (NGO) pertama di negara ini yang diterima menjadi Ahli Gabungan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Ibu Negara kelmarin mengumumkan bahawa BN menerima empat NGO sebagai Ahli Bergabung BN iaitu Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (USBO); Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia; Gabungan Persatuan-persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia dan Pertubuhan Seni Silat Gayung Malaysia.

“BN masih membuka permohonan kepada mana-mana pertubuhan yang ingin bergabung dengan BN,” kata Najib yang juga Presiden UMNO.

Dalam pada itu, Presiden USBO, Datuk Seri Salleh Said Keruak ketika dihubungi Sabahkini.net, mengucapkan jutaan terima kasih kepada Najib dan semua parti komponen atas persetujuan menerima USBO sebagai Ahli Gabungan BN.

“Kita akan gerakkan ahli-ahli kita untuk membantu memperkuatkan jentera BN dan menerangkan Dasar BN kepada masyarakat kita,” kata Salleh yang menjelaskan USBO sekarang diperkasa oleh rumpun Bajau, Irranun dan Suluk.

Salleh menambahkata, beliau mengharapkan semua rumpun dalam USBO terlibat aktif dalam proses pembangunan Negara dan memantapkan sokongan padu kepada BN agar tidak ada yang tercicir daripada arus perdana pembangunan Negara.

No comments:

Post a Comment