Tuesday 27 September 2011

ANIFAH SERU CURAH KEPAKARAN UNTUK NEGARA



Oleh : MANIK MEHTA

MENTERI Luar Datuk Seri Anifah Aman meluangkan masa daripada jadual ketat beliau dalam rangka kerja ke Perhimpunan Agung Bangsa Bersatu ke-66 untuk bertemu dengan masyarakat Malaysia pada majlis jamuan teh di pejabat Wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York, malam kelmarin.

Pada pertemuan itu, beliau menyeru pelajar Malaysia di Amerika supaya pulang ke tanah air untuk membantu membangunkan negara setelah tamat pengajian nanti.

Beliau memberitahu Bernama bahawa kepakaran dan teknologi yang dikuasai pelajar Malaysia amat berguna untuk negara.

"Negara memerlukan anda dan kepakaran anda. Kami (ahli politik) hanya mentadbir negara buat sementara waktu anda" katanya kepada para pelajar Malaysia yang menghadiri majlis itu.

Anifah, yang diperkenalkan kepada masyarakat Malaysia oleh Wakil Tetap Malaysia ke PBB Datuk Hussein Haniff, diiringi isteri, beberapa anggota parlimen dan pegawai tinggi.

Mengenai ‘topik panas’ pada Perhimpunan Agung PBB tentang langkah Palestin untuk mendapatkan taraf keanggotaan tetap dalam badan dunia itu, Anifah memberitahu masyarakat Malaysia bahawa, ucapan yang paling ditunggu-tunggu ialah Presiden Palestin Mahmoud Abbas, yang menerima tepukan gemuruh dan penghormatan oleh masyarakat antarabangsa.

Kira-kira dua pertiga daripada anggota Perhimpunan Agung itu menyokong keanggotaan Palestin dalam PBB, khususnya kewujudan negara Palestin. Permohonan keanggotaan itu, yang dibuat melalui perhimpunan agung berkenaan, akan dikemukakan kepada Majlis keselamatan PBB.

Palestin memerlukan sembilan daripada 15 undi oleh anggota Majlis Keselamatan PBB untuk membolehkannya menganggotai badan dunia itu sekiranya tidak dibantah melalui kuasa veto oleh anggota P-5 (Amerika Syarikat, China, Perancis, Rusia dan United Kingdom).

Negara lain yang diundi untuk menganggotai badan dunia itu bagi penggal dua tahun ialah Brazil, Bosnia and Herzegovina, Colombia, Gabon, Jerman, India, Portugal, Lubnan, Nigeria dan Afrika Selatan.

Sekiranya Amerika Syarikat menggunakan kuasa vetonya, seperti yang dinyatakan para diplomat negara itu di PBB pada Jumaat ketika Abbas mengemukakan permohonan tentang perkara itu secara rasmi, Palestin akan layak menjadi negara pemerhati berbanding kedudukannya sebagai sebuah ‘entiti pemerhati’ sekarang.

Jika itu berlaku, Palestin boleh membawa secara rasmi isu yang menjadi kebimbangannya kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa, suatu prospek yang amat dibimbangi Israel dan sekutunya dari Barat.

Anifah juga memaklumkan kepada masyarakat Malaysia di Amerika Syarikat tentang keadaan politik di tanah air serta penjelasan tentang pengumuman mengenai pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau memberitahu hadirin bahawa Malaysia amat dihormati masyarakat antarabangsa.

"Walaupun Malaysia bukan sebuah negara yang begitu besar, tapi ia juga bukan negara yang terlalu kecil. Walaupun kita tidak maju sepenuhnya, tapi kita sedang bergerak untuk menjadi negara maju. Negara kita amat dihormati kerana peranannya di peringkat antarabangsa," kata beliau.

No comments:

Post a Comment