Friday 2 September 2011

BERNARD MARAAT MUSUH DALAM SELIMUT BN?


Oleh : MEDIA PBRS

PRESIDEN Parti Bersatu Sabah (PBS) diminta untuk mengambil tindakan tegas terhadap Ketua Bahagian PBS Sook yang telah mengistiharkan akan bertanding sebagai calon bebas pada pilihanraya yang akan datang jika tidak dicalonkan mewakili Barisan Nasional (BN) di kawasan itu.

Dalam Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) yang baru lalu Bernard Maraat, mantan Setiausaha Agung Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang meninggalkan parti itu kerana tidak dicalonkan semula pada pilihanraya umum yang lalu, telah menyuarakan untuk bertanding sebagai calon bebas BN jika tidak dicalonkan oleh BN di kawasan itu.

Ketua Pemuda PBRS N.37 Sook, Kahirin Bador berkata, mereka meminta kepada Rakan Komponen BN iaitu PBS agar mengambil tindakan yang sangat tegas dan seterusnya memecat Bernard Maraat yang dengan jelas menentang prinsip perkongsian kuasa dalam BN.

“Tidak ada wujud istilah calon Bebas BN. Ini adalah undang-undang BN dimana ahli yang menentang dalam pilihanraya akan dipecat dan digantung keahliannya seumur hidup,” kata Kahirin dalam satu kenyataan disini.

Katanya, Perdana Menteri dan Ketua Menteri mempunyai pemikiran yang matang dalam menilai dan bukanlah pemimpin yang berfikiran cetek dalam melayani karenah seumpama itu.

Bernard dikatakan berkeras untuk dicalonkan pada pilihanraya yang akan datang dan menuntut Kerusi PBRS di N.37 Sook, Parlimen 182 Pensiangan dan kerusi UPKO di N.38 Nabawan diberi kepada PBS. Sekiranya beliau tidak dicalonkan beliau akan bertanding sebagai calon BN bebas.

Kahirin berkata kenyataan Bernard itu adalah satu tindakan yang memecah belahkan keharmonian komponen BN di Pensiangan.

“Kenyataan beliau mencerminkan sifat kesombongan dan kebudak-budakan. Satu kenyataan dari orang kecewa yang tertembak oleh peluru politiknya sendiri. Ini adalah pendedahan kecelaruan fikiran untuk memperbodohkan rakyat dengan istilah kononnya calon dari parti Bebas yang menyokong BN,” kata Kahirin yang juga Exco Pemuda Pusat PBRS.

Tambahnya, kenyataan Bernard itu adalah petanda awal yang beliau akan mensabotaj calon BN akan datang, maka pucuk pimpinan BN dan PBS wajar memecat orang seperti itu di dalam BN. Ingatlah bahawa BN di Pensiangan mempunyai kekuatannya, hanya sabotaj yang akan menjatuhkan BN di Pensiangan.

“Jika tidak ada tindakan dikenakan terhadap orang seperti Bernard yang tidak memahami konsep perjuangan BN yang sejati, maka inilah punca kejatuhan BN di Pensiangan kerana ada orang yang bersikap seperti musuh dalam selimut, menggunakan segala kemudahan, ahli dan jentera BN untuk kepentingan peribadi,” kata Kahirin.

Oleh itu kata Kahirin, jelas pada ketika ini Bernard adalah seorang musuh dalam selimut dalam komponen BN.

“Wahai Benard, jika kamu mahu terdesak sangat untuk bertanding dalam pilihanraya yang akan datang sila keluar dari PBS dan lawan kami sebagai calon bebas yang tulen. Jangan rosakkan BN,” tegas Kahirin.

No comments:

Post a Comment