Tuesday 27 September 2011

BUDAYA MEMBACA PUPUK TRANFORMASI MINDA



PLAK.....Azizah dan Raslin mempamerkan plak perasmian yang telah ditangani pada Majlis Perasmian Mari Membaca : ‘Bacalah Manjaku’ di Hospital Beaufort.

Oleh : ABU BAKAR ESAH

MENTERI Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Azizah Mohd Dun berkata transformasi minda perlu dilakukan lebih awal bagi memupuk budaya membaca di kalangan masyarakat khususnya, golongan kanak-kanak.

Beliau berkata walaupun kadar membaca oleh masyarakat telah meningkat dari tahun ke tahun, namun ia perlu dirangsang lagi, sekurang-kurangnya mencapai kadar pembacaan 20 buku setahun.

Katanya pada masa kini, kadar membaca hanya membabitkan sekitar lapan hingga 12 buku setahun.

Menurutnya lagi, tahap amalan membaca oleh masyarakat akan menyumbang ke arah peningkatan sumber ekonomi negara dalam industri perbukuan.

"Semakin ramai masyarakat membaca maka semakin meningkat jualan bahan bacaan di pasaran serta seterusnya akan lahir lebih ramai penulis buku yang berkualiti kelak," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Mari Membaca 1Malaysia-Bacalah Manjaku anjuran Perpustakaan Negara di Hospital Beaufort, kelmarin.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Datuk Raslin Abu Bakar; Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr Mohd Yusof Ibrahim; Pegawai Daerah Beaufort, Wong Foo Tin; Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah, Wong Vui Yin dan Pengarah Hospital Daerah Beaufort Dr Dony Daud @ Baktian.

Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias itu berkata program galakan membaca itu bertujuan merangsang ibu bapa untuk menyuntik semangat anak-anak mereka mengamalkan amalan membaca sebagai budaya hidup.

Katanya sasaran utama program itu ialah anak-anak kecil yang mendapat rawatan di hospital dan berterima kasih kepada Perpustakaan Negara yang mengambil inisiatif untuk meningkatkan tahap amalan membaca masyarakat.

Beliau berkata ini selari dengan aspirasi kerajaan untuk menerbitkan 28,000 judul bahan bacaan menjelang 2015 bagi menampung 28 juta penduduk Malaysia.

Katanya, ini kerana bahan bacaan yang mencukupi adalah satu kriteria yangdiambil kira dalam mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

Azizah bekata amalan membaca harus dijadikan amalan wajib setiap hari kerana ia menjadi titik tolak pembentukan masyarakat yang mantap dari segi ilmu pengetahuannya dan melahirkan generasi yang berminda kelas pertama.

No comments:

Post a Comment