Saturday 24 September 2011

CADANGAN PENGERUSI BHF TIDAK PRAKTIKAL



Oleh: KREW SABAHKINI.NET

MAJLIS Bertindak Deklarasi Suara Anak-Anak Daerah Tuaran (MANDAT) menganggap masih tidak praktikal pada ketika ini untuk melaksanakan cadangan Pengerusi Yayasan Warisan Borneo (BHF); Datuk Dr Jeffrey Kitingan untuk menghadkan tempoh memegang jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri kerana dasar yang sedia digunapakai di negara ini masih sesuai dan relevan lagi.

Pengerusi MANDAT, Marsah Muyong yang mengulas cadangan badan bukan kerajaan (NGO) itu tidak menolak yang cadangan itu boleh dipertimbangkan pada masa hadapan, namun tidak begitu mendadak untuk disegerakan agar tempoh penghadan memegang jawatan-jawatan berkenaan kepada hanya dua penggal sahaja.

"Dalam suasana kehidupan rakyat yang harmoni dan makmur, ditambah lagi oleh keadaan negara yang aman dan damai MANDAT merasakan belum sampai masanya untuk menghadkan tempoh yang sedia ada, kerana sejak dahulu lagi keadaan yang digunapakai sekarang masih terus relevan dan terbaik," kata Marsah yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tuaran.

Bagaimanapun, Marsah merasakan, bukanlah menjadi masalah jika BHF membuat cadangan yang sedemikian agar suara dan permintaan kepada Perdana Menteri itu mendapat perhatian dan pada akhirnya ia akan diperhalusi sebelum dibawa ke suatu persidangan yang lebih bertepatan untuk meluluskannya.

DR Jeffrey yang juga bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini menjadi Pengerusi badan bukan kerajaan iaitu Yayasan Warisan Borneo (BHF) baru-baru ini dipetik sebagai berkata ingin supaya ditamatkan sistem yang diamalkan di negara ini sekarang bagi membolehkan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri menjawat jawatan itu bagi beberapa penggal terhad.

Sehubungan dengan cadangan itu, MANDAT berharap pada masa akan datang harapan untuk merealisasikan tranformasi politik perlulah dilakukan oleh semua parti, tidak kira Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR); agar mengemukakan calon baru bagi mengantikan pemimpin lama yang tidak relevan agar lebih berkesan dan boleh berfungsi demi manfaat semua pihak.

"Adalah wajar bagi semua pimpinan politik terutama kepada pimpinan BN agar memberi perubahan baru kepada senario politik negara supaya berani mengemukakan calon baru dan tidak mengekalkan calon lama yang tidak lagi relevan,” kata Marsah bagi mengulangi kebimbangan Najib mengenai pemimpin yang berpenyakit Khayal, Lupa diri, Jumud (lali) dan Ego.

Jika perubahan ini dapat ditranformasi dalam BN, kata Marsah, beliau percaya harapan Malaysia untuk beralih dari negara membangun kepada negara maju akan dapat direalisasikan.

"Sepertimana dengan keberanian yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri yang telah melakukan penghapusan Akta ISA dan pada masa yang sama turun padang bekerja keras untuk mendampingi rakyat adalah bukti kukuh yang kepimpinan Najib harus diberi peluang untuk terus memimpin Negara,” kata Marsah yang yakin dengan kestabilan politik dan kekukuhan ekonomi Sabah.

No comments:

Post a Comment