Tuesday 27 September 2011

CADANGAN UPKO AKAN DIBERI PERHATIAN



SEMUA cadangan dan usul, termasuk masalah pendatang tanpa izin (PATI), yang dibangkitkan Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Tan Sri Bernard Dompok dalam ucapan dasarnya sempena persidangan perwakilan parti itu, akan diberi perhatian.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata beliau percaya Upko telah menyerahkan memorandum berhubung perkara itu kepada pihak berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

"Apa yang diluahkan oleh beliau (Tan Sri Bernard Dompok) termasuk soal PATI dan yang lain-lain...kita mengambil berat perkara ini.

"Yang penting kita akan berbincang dengan semua yang berkepentingan yang ada di Sabah ini supaya memikirkan apa yang perlu dibuat untuk kebaikan kita bersama," katanya selepas merasmikan Hari Seniman 2011 di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu, kelmarin.

Musa yang juga pengerusi BN negeri dan pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Dompok supaya Umno tidak bertanding melebihi 50 peratus daripada jumlah kerusi pilihan raya yang ditandingi BN dalam mana-mana pilihan raya umum.

Dompok turut mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kehadiran PATI yang dikatakan menyumbang kepada peningkatan jumlah penduduk Sabah yang mendadak antara 1990 dan 2000.

Upko juga meluluskan usul supaya jawatan Timbalan Pengerusi BN kedua diwujudkan dan seterusnya penjawat itu dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri kedua bagi mengimbangi pelaksanaan dasar pembangunan di antara semenanjung, Sabah dan Sarawak sesuai dengan konsep perkongsian sama rata semasa penubuhan Malaysia.

Semalam, ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Upko di Pusat Kebudayaan Sabah di Penampang, dekat sini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata usul pewujudan jawatan Timbalan Pengerusi BN kedua yang dilantik di kalangan parti komponen BN dari Sabah dan Sarawak perlu dibawa ke dewan tertinggi BN untuk dibincangkan.

Perdana Menteri dipetik sebagai berkata bahawa perkara itu adalah lebih baik dibincangkan dalam forum dewan tertinggi BN daripada diperdebatkan secara terbuka. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment