Saturday 24 September 2011

HAJIJI PANDANG SERIUS KES TANAH ADAT



MENTERI Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan memandang serius penjualan Tanah Anak Negeri Sabah kepada pihak lain.

Malah katanya, ada juga yang baru menerima resit penerimaan permohonan tetapi sudah menjualnya kepada pihak lain.

“Keadaan seumpama ini, sudah tentunya menyukarkan kerajaan menyalurkan bantuan pembangunan yang berkaitan kerana mereka lebih berminat untuk mendapatkan wang segera dengan menjual tanah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan seminar Tanah dan Undang-Undang Anak Negeri yang dianjurkan oleh Biro Perundangan dan Hal Ehwal Tanah parti Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) di sini, kelmarin.

Oleh sebab itu, katanya, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman, telah memperkenalkan sistem Communal Title dengan hanya memberikan satu geran komunal kepada pemilik-pemilik tanah di sesebuah kawasan bagi mengatasi masalah itu.

“Dalam perkara ini, kerajaan telah pun memberi geran komunal seluas 3,191 hektar kepada 1,022 orang di Lalampas, Tongod dan 3,650 hektar kepada 1,040 orang di Salarom Taka, Nabawan yang telah disampaikan kepada penduduk yang terlibat oleh Ketua Menteri sendiri,” katanya.

Jelasnya, pengenalan geran komunal itu bukan sahaja bertujuan untuk mengelakkan tanah-tanah berkenaan dihadapi atau dijual sewenang-wenangnya kepada pihak lain, tetapi juga memudahkan agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) membangunkan kawasan itu secara bersepadu.

Mengenai pemilikan tanah di kalangan Anak Negeri yang masih lagi menjadi isu besar sehingga hari ini, Hajiji berkata, kerajaan telah dan sedang melaksanakan usaha-usaha ke arah penyelesaian permohonan yang telah dibuat sejak sekian lama tetapi belum lagi mendapat keputusan.

“Kita maklum bahawa permohonan yang tertunggak itu disebabkan oleh permohonan bertindih yang memerlukan kita membuat kajian lebih mendalam termasuklah menggunakan perundangan anak negeri untuk menentu-sahkan permohonan yang sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri sebenarnya sudah menyediakan Draf Rang Undang-Undang Enakmen Tarif Anak Negeri pada tahun 2003.

Sebuah Jawatankuasa Kajian Etnik Negeri Sabah yang merangkumi Jabatan Muzium Sabah, Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Mahkamah Anak Negeri Sabah, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan Pejabat Peguam Negeri Sabah telah dibetuk untuk memperincikan lagi draf yang telah disediakan.

“Kita yakin, kerajaan kelak akan dapat membentangkan Rang Undang-Undang ini di Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Menurutnya, kefahaman yang jelas tentang taktif ‘Anak Negeri’ adalah mustahak dan kritikal terutamanya berhubung dengan keistimewaan-keistimewaan yang diperlukan kepada ‘Anak Negeri’ terutamanya di bawah Ordinan Tanah Bab 68.

“Daripada empat definisi ‘Anak Negeri’ di bawah Ordinan Interpretasi Bab 64, hanya Seksyen 2(1) sahaja yang layak mendapat status “Anak Negeri,” secara automatik, manakala mereka yang tergolong di bawah Seksyen 2(1)b, 2(1)c dan 2(1)d perlu mendapat kelulusan daripada Mahkamah Anak Negeri,” katanya.

Hajiji berkata, keistimewaan Anak Negeri untuk memiliki tanah merupakan satu perkara yang telah menyebabkan banyak penyelewengan dan salah guna kuasa dilakukan dalam pengeluaran Sijil Anak Negeri di masa lalu.

Sebab itu, katanya, kerajaan telah membekukan pengeluaran Sijil Anak Negeri sejak 29 April 1982.

No comments:

Post a Comment