Thursday 29 September 2011

INSENTIF PELABUR, TRANSFORMASI DI LUAR BANDAR



1MALAYSIA........Abdul Rahman (dua dari kanan), Mailleh (kanan sekali), Mastan (tiga dari kiri) menunjukkan susu 1Malaysia sempena majlis pelancaran program itu.

Oleh : ISMAIL MOHD ROSLI

AHLI PARLIMEN Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan meminta Kerajaan Persekutuan supaya dapat memberi insentif khas kepada pelabur-pelabur yang ingin membangunkan kilang perusahaan mereka di kawasan luar bandar di negeri ini.

Beliau berharap dalam belanjawan tahun 2012 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober nanti, cadangan tersebut dapat dipertimbangkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Menurut Abdul Rahman, ketika ini amat sukar untuk meminta pelabur kilang-kilang dari luar untuk membina kilang mereka di kawasan luar bandar seperti di daerah Kota Belud.

“Antara sebabnya mengapa pelabur tidak mahu membina kilang mereka di kawasan luar bandar ialah kerana jauh daripada pelabuhan dan lapanganterbang, jauh dari sumber manusia yang mempunyai kepakaran seperti di bandar, kekurangan kemudahan dari segi infrastruktur dan utili, jauh dari sumber bahan dan sebagainya.

“Maka tidak ada insentif untuk para pelabur membuka kilang-kilang mereka di kawasan luar bandar termasuk di daerah Kota Belud. Justeru itu saya mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan supaya memberi insentif seperti pengecualian cukai pendapatan dan subsidi pengangkutan kepada pelabur kilang-kilang tersebut sebagai galakan untuk pelabur membangunkan kilang mereka di kawasan luar bandar.”

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Susu 1 Malaysia di SK. Timbang Dayang, Kota Belud, baru-baru ini.

Jelas Abdul Rahman lagi, sekiranya kilang-kilang boleh dibangunkan di luar bandar, penduduk kampung terutamanya generasi muda akan mendapat pekerjaan dan dalam masa yang sama mereka tidak akan terjerumus ke dalam masalah sosial seperti ketagihan najis dadah, melepak dan sebagainya.

Selain itu, bebanan keluarga akan berkurangan kerana anak-anak muda ini tidak lagi akan bergantung kepada ibu bapa mereka, malah mereka sebaliknya boleh memberi kehidupan yang lebih selesa kepada ibu bapa, isteri dan anak-anak mereka.

Apabila masalah sosial tidak lagi berleluasa dan keluarga mereka keluar dari kemiskinan, bebanan perbelanjaan kerajaan untuk membantu mereka juga akan berkurangan dan ini akan membantu membiayai pendapatan negara yang turun akibat cadangan pengecualian cukai tersebut itu.

Abdul Rahman yang juga Setiausaha Barisan Nasional Sabah turut mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan pada pembentangan belanjawan supaya harga barangan di kawasan luar bandar dapat dikurangkan harganya.

Menurutnya, sebagai contoh, harga mi maggi di pedalaman Sabah jauh lebih tinggi daripada harga mi maggi yang dijual di Kuala Lumpur.

Katanya, ini adalah kerana kos pengangkutan mi magi yang terlalu tinggi hingga menyebabkan penduduk di kawasan luar bandar tertekan dengan harga yang tidak munasabah.

ALBUM KENANGAN........Abdul Rahman bersama guru-gur dan murid-murid SK. Timbang Dayang, Kota Belud mengabdikan album kenangan pada majlis itu.

Tambahan lagi, pendapatan rakyat Sabah di pedalaman jauh lebih rendah dari penduduk di Kuala Lumpur.

“Ini bermaksud penduduk di pedalaman Sabah berdepan dengan dua masalah besar yang menghantui mereka sekaligus iaitu harga barangan yang mahal dan pendapatan isi rumah yang rendah. Kedua-dua masalah ini menyebabkan mereka tidak mampu keluar daripada kemiskinan.”

“Saya minta supaya Kerajaan Persekutuan memberi subsidi pengangkutan yang cukup untuk memastikan kos pengangkutan, sama ada laut dan darat dapat dikurangkan agar harga barangan di Semenanjung dan di pedalaman di negeri ini, dapat disama-ratakan harganya. Sekurang-kurangnya satu daripada masalah yang dihadapi orang kampung di pedalaman dapat diselesaikan.”

Hadir sama pada majlis itu, antaranya Ketua Unit Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Pejabat Pelajaran Daerah Kota Belud, Mastan Gagah; Pengerusi Majlis Guru Besar Daerah Kota Belud, Selamat Omar; Guru Besar SK. Timbang Dayang, Kota Belud, Mailleh Kula serta para pemimpin setempat yang lain.

No comments:

Post a Comment