Friday 30 September 2011

JAGA KESIHATAN SEMASA DI TANAH SUCI



SEDEKAH…Kelihatan Lajim ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang bakal jemaah haji di majlis tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

SERAMAI 34 orang bakal jemaah haji dari kawasan Parlimen Beaufort yang akan mengerjakan fardu haji ke Mekah tahun ini telah diraikan oleh Ahli Parlimen Beaufort Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin dalam satu majlis ringkas, namun penuh bermakna, di Rumah Rehat Beaufort, petang kelmarin.

Jumlah tersebut merupakan bakal jemaah haji dari dua buah kawasan iaitu dewan Undangan Negeri iaitu Klias dan Kuala Penyu kerana difahamkan terdapat beberapa orang bakal jemaah haji dari kawasan ini akan menyertai penerbangan pertama pada 03 Oktober ini.

Berucap meraikan bakal jemaah haji pada majlis tersebut, Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengingatkan bakal jemaah haji khususnya dari kawasan ini agar sentiasa memberikan perhatian terhadap aspek kesihatan mereka bagi mempastikan mereka mampu mengerjakan haji dalam keadaan yang sempurna dan teratur.

Menurut Lajim, bakal jemaah haji juga perlu sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Lembaga Urusan Tabung Haji Malaysia yang sentiasa memberikan bantuan kepada jemaah haji dari Malaysia.

“Tidak timbul masalah jika kita (jemaah Haji) sentiasa mengikuti peraturan yang ditetapkan dan sentiasa merujuk kepada LUTH semasa berada di sana,” jelas Lajim.

Tambah Lajim lagi, kemudahan yang disediakan oleh LUTH kepada jemaah haji dari Malaysia merupakan antara yang terbaik; justeru itu bakal jemaah haji tidak perlu risau semasa mereka mengerjakan fardu haji.

Dalam pada itu, beliau juga turut menasihati agar bakal jemaah haji sentiasa menjaga aspek keselamatan mereka dan tidak terpengaruh dengan eleman-eleman yang boleh melalaikan ibadah haji mereka ini, termasuk menghampiri kawasan-kawasan yang sesak dengan jemaah haji bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Dimajlis tersebut Lajim bersama isteri Datin Seri Panglima Hajah Normilah Siong turut menyampaikan sumbangan peribadi berupa kewangan pada bakal jemaah haji dari kawasan itu di majlis yang turut dihadiri oleh Setiausaha Umno Bahagian Haji Jusih Haji Sarin dan Ketua Pergerakan Puteri Umno Bahagian, Saridah Datuk Seri Panglima Mohd. Dun

No comments:

Post a Comment