Saturday 10 September 2011

JALAN KERBAU BUAT WARGA KLIAS



BERLUBANG.....Taufiq menunjukkan ke arah lubang besar yang terdapat pada Jalanraya Kg Hulu Kecil Klias.

Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : TAUFIQ RUSCHI

ADUN Klias, Datuk Azizah Haji Mohd Dun dibidas kerana gagal menunaikan janjinya sejak pilihanraya umum ke 12 kononnya untuk menyediakan dan menaiktaraf kemudahan asas kepada penduduk kawasan Klias.

Aktivis Masyarakat, Taufiq Ruschi yang melawat ke Kampung Hulu Klias Kecil kelmarin atas jemputan penduduk kampung di samping meninjau suasana keadaan kampung berkenaan setelah menerima aduan rasmi.

Dalam lawatan tersebut, penduduk kampung mengadu jalan kampung mereka tidak pernah diselenggara sehingga tidak dapat digunakan penduduk kampung; malah menjadi tempat kerbau berkubang.

“Rakyat mengadu mereka berasa rugi kerana membayar cukai jalan disebabkan kerosakan jalan tersebut yang sudah sekian lama tidak disenggelarakan. Mereka marah kerana aduan mereka diabaikan Azizah,” ujar Taufiq.

Kata Taufiq lagi, kegagalan Azizah untuk membangunkan infrastruktur Klias menyebabkan DUN berkenaan mundur dan berlaku pengangguran yang ketara.

Rakyat di kawasan ini, kata Taufiq, benar-benar dahagakan pembangunan yang disalurkan oleh kerajaan Barisan Nasional.

“Apa gunanya melantik Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR); Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO); Pemaju Mukim; Pemaju Masyarakat; Pengerusi JKKK dan Ketua Kampung jika kesemua mereka tidak berfungsi dan hanya menjadi kertas kitar semula,” kata Taufiq yang kesal kerana kesemua pegawai Azizah hanya makan gaji buta dan enggan menjalankan tugas yang diamanahkan kepada mereka.

Rakyat, kata Taufiq, sudah bosan dengan segala tindak tanduk Azizah yang hanya pandai menabur janji, tetapi tidak pernah menunaikan sebarang janji tanpa alasan yang munasabah.

“Mereka menunggu masa yang sesuai untuk memastikan karier politik Azizah berakhir kerana tiba masanya rakyat menghantar pemimpin antik ini ke Muzium Politik,” ujar Taufiq dengan nada sinis.

No comments:

Post a Comment