Thursday 8 September 2011

JALAN MAUT UNTUK BANDAR PALMA?


BAHAYA.....Chong menunjukkan Salah satu daripada dua runtuhan berbahaya di Jalan Kastam Baru yang tidak pernah diselenggara.

Oleh : MUTALIB M.D

KERAJAAN Persekutuan disifatkan gagal memastikan jalanraya di Bandar Palma Lahad Datu selamat untuk semua lalulintas sekalipun ratusan juta ringgit dibelanjakan untuk menaiktaraf dan menyelenggara jalan berkenaan setiap tahun.

Timbalan Ketua Bahagian Parti Liberal Demokratik Silam, (Lahad Datu) Chong Su Vun yang membawa krew Sabahkini.net meninjau keadaan jalan masuk utama ke Bandar Palma menegaskan; bahawa kesemua jalan masuk berkenaan adalah Jalan Maut dan bukannya jalan raya yang selamat.

“Jalan Pancuran, Jalan Kastam Baru dan Jambatan Sungai Pancuran bila-bila masa boleh putus tetapi tidak ada sebarang tindakan diambil JKR sejak 10 tahun lalu dan hanya memasang notis amaran,” kata Chong yang kesal kerana membahayakan pengguna, terutama ketika hujan lebat kerana jalan berkenaan boleh runtuh pada bila-bila masa.

Menurut Chong, Ahli Parlimen Malaysia (Silam) terlalu sibuk dengan urusan politik dan peribadi sehingga lupa tugasnya membawa isu ini ke Parlimen walaupun pelbagai aduan rasmi telah difailkan.

Memandangkan kesemua jalan masuk ke Bandar Palma Lahad Datu; Jalan Kastam Baru, Jalan Pancuran mempunyai densiti yang tinggi, maka kata Chong, beliau khuatir jalan berkenaan akan terputus dan menyebabkan pengguna terpaksa menggunakan Jalan Pantai dan Jalan Balai Polis sebagai susur masuk sehingga menyebabkan kesesakan kepada bandar berkenaan.

REKAHAN.....Chong menunjukkan rekahan yang semakin melebar di Jambatan Pancuran.

“Kita juga berharap agar Adun Lahad Datu turut memainkan peranan mendesak Jabatan Kerjaraya mengambil tindakan jangkapanjang untuk mengatasi masalah yang semakin meruncing ini kerana sudah banyak kemalangan dilaporkan akibat tanah runtuh berkenaan,” kata Chong yang telah menyampaikan masalah ini kepada adun berkenaan.

Jalan Kastam Baru, kata Chong amat penting kerana dilalui oleh lebih 30,000 kenderaan sehari, terutama pada waktu malam oleh lori pengangkut baja dan POIC.

“Dua tanah runtuh di jalan yang tidak sampai satu kilometer dan tidak dibaiki sejak 10 tahun lalu adalah senjata pemusnah pembangkang dalam pilihanraya umum akan datang,” kata Chong yang mendesak agar Menteri Kerjaraya Malaysia melawat Lahad Datu sebelum terlambat.

No comments:

Post a Comment