Friday 16 September 2011

JEJENTIK DAN ULAT DI LONGKANG FLAT SRI TAMAN



Oleh : CHANG SHAK HUNG

PADA 13 September 2011, kira-kira jam 5.30 petang, Wartawan Sabahkini.net telah menerima aduan longkang tersumbat daripada penduduk di Flat Sri Taman, Batu 3½ Sandakan dan tinjauan telah dibuat segera pada 14 September 2011, lebih kurang jam 6 pagi.

Aduan yang dilaporkan penghuni di Blok 16, Lau, adalah berkenaan longkang yang tersumbat dan menyebabkan air bertakung serta berbau busuk.

Melalui tinjauan yang dilakukan pada pagi berkenaan, adalah amat mengejutkan apabila takungan air longkang ini telah menyebabkan jejentik nyamuk serta ulat mula membiak di dalam longkang tersebut.

Tidak mustahil keadaan ini telah menyebabkan Lau sekeluarga rasa loya, tidak lalu makan serta tidur tak lena gara-gara bau busuk yang keluar dari longkang berkenaan.

Bukan sahaja di Blok 16, tinjauan telah dibuat di beberapa blok yang lain dan didapati sampah sarap yang terdapat di dalam longkang, adalah begitu teruk.

Sabahkini.net telah mengajukan aduan Lau kepada Majlis Perbandaran Sandakan untuk tindakan lanjut.

Maklum balas telah diterima daripada Lau yang menyatakan bahawa pihak berwajib telah membersihkan longkang tersebut pada waktu pagi hari yang sama juga.

Menurut Lau lagi, beliau telah mengadu permasalahan ini kepada sebuah parti komponen Barisan Nasional, namun langsung tidak mendapat perhatian daripada mereka.

Apakah bentuk tindakan yang boleh diambil dan janji yang boleh diberikan oleh Pengerusi LPBB Sri Taman dalam memastikan perkara ini tidak berulang?

Sikap kerja sambil lewa ini patut dikikis terutamanya wakil rakyat yang dipilih adalah untuk membantu rakyat dan bukannya memberi kedukaan dan harapan musnah untuk para penduduk di tempat yang diwakili mereka!

No comments:

Post a Comment