Friday 9 September 2011

KALAKAU, PEJUANG SEJATI KDM!



Oleh : RAYNER STANLEY

DATUK Kalakau Untol, adalah seorang pejuang yang bukan mudah untuk mempengaruhinya. Beliau mempunyai jatidiri yang tertanam pada dirinya sejak mula mengenal erti perjuangan ketika berusia 18 tahun.

Beliau mempunyai semangat waja untuk berjuang demi rakyat, Bukan mudah mematahkan semangat beliau kerana Prinsip beliau berlandaskan kepada keadilan.

Personaliti dan kepimpinan Kalakau yang sebenar ialah berpegang teguh kepada kebenaran dan keadilan tanpa mengira kaum dan agama. Kalakau juga seorang yang berani mendepani isu-isu yang memerlukan pembelaan.

Memang benar Kalakau memasuki arena politik semasa di usia muda beliau. Semasa era pemerintahan kuku besi Tun Mustapha, beliau adalah antara orang yang berani tampil menyertai Parti PEKEMAS di bawah pimpinan Tan Sri Dr Tan Chee Khoon, Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia ketika itu, pada usia semuda 18 tahun.

Semasa kerajaan Berjaya, Mendiang Datuk Dr James Ongkili membantu beliau untuk melanjutkan pelajaran ke USA. Mendiang Datuk Dr James menasihati beliau agar mempersiapkan diri dengan seberapa banyak ilmu untuk diketengahkan di masa hadapan kepada Kalakau masa itu.

Kalakau tidak pernah menafikan bahwa Datuk James Ongkili pernah membantu beliau (dalam beberapa ceramah beliau semasa era pemerintahan PBS) mengakui bahawa beliau terhutang budi pada mendiang Datuk Dr James Ongkili.

Tetapi Kalakau juga seorang yang tegas dan mengatakan bahawa jikalau Datuk J.P Ongkili tidak mengikut rentak KDM yang mahukan Ketua Menteri KDM pada masa itu, beliau tidak teragak-agak menentang siapa sahaja di Parlimen.

Budi dan jasa tetap dikenang, tetapi masa depan KDM dan Negeri Sabah menjadi keutamaan. Justeru itu Kalakau berpihak kepada perjuangan keadilan, kerana Datuk Harris Salleh sudah tidak disenangi oleh KDM ketika itu dengan isu-isu pemberian kad pengenalan kepada PTI terutama sekali kepada warga Pakistan; penyerahan Pulau Labuan dan juga pengIslaman beramai-ramai semasa Pesta Ka'amatan.

Kalakau menyokong Tan Sri Pairin dalam PBS. Kalakau adalah seorang yang radikal semasa di usia muda beliau. Tidak betul dia tegur, tidak dengar dia hentam dan beliau tidak kisah kepentingan beliau terjejas.

Dalam pentadbiran Yayasan Sabah, beliau mempersoalkan Dr Jeffrey memegang Jawatan kepada banyak anak syarikat kerajaan Negeri ketika itu (Tegur).

Teguran-teguran Beliau bukan saja itu tapi beberapa jawatan penting seperti D.O ketika itu hampir semua dipegang oleh KDM dan Kalakau telah membuat teguran kepada perkara tersebut. Ini tidak disenangi oleh sesetengah KDM, tetapi Kalakau menyatakan perkara ini mesti diperbetulkan demi keadilan.

Beliau juga pada ketika itu menegur kerajaan PBS dalam hal-hal rasuah, beliau tidak disenangi oleh kebanyakan pemimpin-pemimpin PBS, itu betul. Kalakau memberi teguran demi keadilan.

Apabila beliau dipecat daripada PBS beliau menubuhkan Parti AKAR (Angkatan Keadilan Rakyat). Apabila Parti AKAR tewas, beliau menerima keputusan rakyat. Apapun Kalakau berkata yang tidak betul mesti ditegur dan diperbetulkan.

Apabila PBS dijatuhkan melalui rampasan kuasa oleh UMNO/BN, Kalakau tampil membantu Pairin. Tetapi apabila PBS berpecah belah, beliau memilih bersama-sama dengan Datuk Seri Wlifred Mijilip Bumburing dalam Parti PDS yang kemudian dijenamakan semula sebagi UPKO dan menjadi Ketua Pemuda UPKO selama 12 tahun.

Apabila melihat pelbagai kesongsangan Politik UMNO/BN sekarang, beliau melepaskan jawatan dalam BN dan keluar menyertai Parti PKR. Mengikut Kalakau, memang beliau ada berjumpa dengan Hj Ansari untuk membincangkan perihal politik dan menyertai PKR itu betul.

Dalam PKR, Hj Ansari Abdullah memperkecil-kecilkan kepimpinan Datuk Dr Jeffrey dan Kalakau memilih untuk memihak kepada Datuk Dr Jeffrey dan kumpulan Hj Ansari tidak menyenangi beliau.

Apapun menurut Kalakau, apabila Dr Jeffrey keluar daripada PKR, beliau tetap memilih bersama PKR kerana beliau merasakan Parti PKR adalah pilihan terbaik setakat ini. Sistem pemilihan PKR juga membuatkan beliau tertarik dengan parti itu, iaitu cara pemilihan kepimpinan parti iaitu melalui satu ahli satu undi yang menampakkan pendemokrasian berpaksikan kepada prinsip KeaDilan.

Di Tuaran, Kalakau dilihat sebagai calon Dusun PKR yang mempunyai potensi untuk memenangi kerusi Parlimen P.170 Tuaran dan ini menjadi bahan cerita orang Tuaran khususnya di kedai-kedai kopi memandangkan Parlimen Tuaran suku kaum majoritinya adalah suku kaum Dusun dan Kalakau juga adalah merupakan Presiden Dusun Sabah Bersatu (USDA).

Walaupun begitu, Kalakau tidak pernah melobi untuk menjadi calon Parlimen atas tiket PKR. Bagi Kalakau adalah tidak bijak meletakan calon Dusun di kawasan Cina dan meletakkan calon Cina di kawasan Bajau.

Kumpulan Ansari tidak begitu menyenangi Kalakau di Tuaran memandangkan Kalakau begitu popular dan cukup dikenali di Daerah Tuaran dengan kelantangan beliau semasa menajdi Ahli Parlimen Tuaran suatu ketika dulu, tetapi bagi Kalakau itu tidak apa kerana kita sentiasa mengamalkan demokrasi.

Menurut Kalakau lagi beliau tidak akan memberi ruang kepada pembelot dan pengkhiant serta pemimpin talam dua muka dalam PKR.

No comments:

Post a Comment