Friday 30 September 2011

KUNJUNGAN ANIFAH KE NEW YORK BERJAYA



Oleh : MANIK MEHTA

MENTERI Luar, Datuk Seri Anifah Aman amat berpuas hati dengan hasil kunjungan beliau selama seminggu ke New York kerana menghadiri Perhimpunan Agung Bangsa Bersatu (UNGA) ke-66.

Semasa berada di bandar raya ini, beliau menghadiri beberapa mesyuarat dan rundingan peringkat menteri serta 12 mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya dan wakil pelbagai pertubuhan.

Ucapan beliau pada Perbahasan Umum UNGA ke-66 menyentuh pelbagai perkara, termasuk isu Palestin, keganasan, Gerakan Kesederhanaan Global, Somalia, pembangunan lestari, perlucutan senjata nuklear, susun atur kewangan baru dan pembaharuan Bangsa Bersatu.

"UNGA pada tahun ini nampaknya memberi tumpuan terhadap permohonan Palestin untuk menjadi anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu. Malaysia dan beberapa negara yang berkongsi pandangan dengannya menyokong permohonan Palestin itu.

"Saya juga mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Palestin dan menyerahkan sumbangan Malaysia berjumlah US$2 juta sebagai sebahagian daripada bantuan berterusan kami kepada penduduk Palestin," katanya.

Bercakap kepada Bernama, Anifah berkata ketika menghadiri UNGA ke-66, beliau juga mengambil kesempatan untuk memaklumkan kepada masyarakat antarabangsa tentang hasrat dan komitmen Malaysia untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menggantikannya dengan undang-undang baru bagi memerangi ancaman keganasan.

Ketika menyertai masyarakat Malaysia di New York pada majlis sambutan Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan ke-54, beliau memberi penjelasan terperinci kepada mereka tentang pemansuhan ISA.

Anifah juga memanfaatkan kunjungan beliau ke New York untuk mengadakan perbincangan dua hala dengan menteri luar beberapa negara.

Perbincangan beliau dengan Menteri Luar Turki Ahmet Davutoglu bertumpu pada isu Palestin.

Pada pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Uzbekistan Ganev Elyor Majidovich pula, Anifah berbincang tentang pembabitan Petronas di Uzbekistan, perkara berkaitan perdagangan dan pelaburan, pertukaran lawatan pegawai tinggi dari kedua-dua negara dan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan.

Anifah juga mengadakan perjumpaan dengan wakil Chile, Brazil dan Mexico serta mewakili Troika Kumpulan Rio untuk membincangkan pelbagai isu, khususnya pemantapan hubungan antara Asean dan kumpulan itu.

Pada pertemuan dengan Mahmoud Jibrali, Ketua Hal Ehwal Antarabangsa dan Pengerusi Lembaga Eksekutif Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) Libya iaitu kerajaan sementara negara itu, beliau menyatakan kesediaan Malaysia untuk menghulurkan bantuan dalam bidang teknikal dan pembinaan keupayaan kepada NTC dalam usahanya membina 'Libya baru' melalui Kerjasama Selatan-Selatan dan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

Anifah berkata Libya berharap lebih banyak syarikat Malaysia terlibat dalam pembangunan semula negara itu dan ekonominya, terutama penglibatan Petronas dalam projek tenaga dan cari gali minyak.

Kata Anifah, beliau juga berbincang tentang pelbagai isu, termasuk Islamophobia, fundamentalisme dan keganasan dengan Jorge Sampalo, wakil tertinggi ke Perikatan Peradaban Bangsa Bersatu.

Selain menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Tahunan para Menteri Luar OIC, Anifah juga mengadakan perjumpaan dengan Menteri Luar Hungary Janos Martonyi dan Menteri Luar China Yang Jiechi.

No comments:

Post a Comment