Wednesday 21 September 2011

LUMADAN SESUAI TANAMAN NENAS


SUMBANGAN…Kamarlin (kanan) mengiringi Lajim menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak sempana majlis tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

KAWASAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan yang terletak di antara daerah Beaufort dan Sipitang berpotensi menjadi pengeluar buah nenas utama di negeri ini.

Wakil rakyatnya, Kamarlin Haji Ombi berkata, kawasan Lumadan yang sememangnya terkenal dengan buah nenas bermutu tinggi mempunyai kawasan tanah gambut yang subur dan sesuai untuk penanaman nenas secara besar-besaran.

Kamarlin yang juga Timbalan Presiden Persatuan Biaaya Bersatu Sabah (PBBS) berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Merdeka Raya Aidilfitri beliau bersama PBSS di Dewan Masyarakat Kampung Lupak, Beaufort, baru-baru ini.

Majlis tersebut dihadiri dan dirasmikan oleh Presiden PBBS yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin; Naib- Naib Presiden PBBS serta hampir 5,000 orang masyarakat setempat.

Menurut Kamarlin lagi, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Lembaga Pembangunan Tanah Sabah (SLDB) supaya penamanan buah nenas yang ketika ini dibuat secara kecil-kecilan diusahakan secara besar-besaran.

“Kita yakin dengan kesesuaian tanah di kawasan ini, jika ianya dilakukan secara serius tanaman nenas berpotenasi besar untuk dimajukan dan ini sekali gus dapat menyumbang kepada peningkatan taraf siso ekonomi masyarakat setempat,” jelas Kamarlin.

Tambahnya, kawasan seperti kampung Banting, Lingkungan dan Maraba merupakan kawasan yang sangat subur dan sesuai untuk tanaman nenas.

Beliau berharap, suatu hari nanti, sebuah kilang nenas juga dapat dibina di Lumadan bagi menyokong industri nenas di negeri ini khususnya di DUN Lumadan.

Kamarlin menambah, pasaran bagi nenas di kawasan itu amat berjaya sehingga mendapat permintaan daripada pelancong dari Sarawak dan negara Brunei.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mencadangkan kepada kerajaan supaya membantu penduduk di kawasan tersebut membangunkan ‘Homestay’. Ini kerana terdapat ramai pelancong dalam dan luar negeri datang ke kawasan itu bagi melihat keindahan alam semulajadi termasuk monyet belanda dan kelip-kelip. Ini ditambah lagi apabila projek Sanktuari Burung yang sedang dibina dan akan siap tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment