Saturday 24 September 2011

MAXIMUS HARGAI KEPERCAYAAN NAJIB



MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mencalonkannya sebagai pengerusi Jawatankuasa Terpilih Parlimen untuk menambah baik sistem dan proses pilihan raya di negara ini.

Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah dan anggota Parlimen Kota Marudu itu berkata ia merupakan satu penghormatan dan keistimewaan untuk mewakili negara serta Sabah dan masyarakat Kadazandusun dalam mengenal pasti dan merumuskan penambahbaikan kepada sistem pilihan raya.

"Jika Parlimen meluluskan pelantikan ini, saya berjanji akan melakukan yang terbaik bersama-sama dengan anggota jawatankuasa terpilih yang lain bagi memenuhi tanggungjawab dan tugas jawatankuasa," katanya dalam kenyataan.

Beliau berharap akan terdapat banyak penyertaan daripada rakyat Malaysia dalam proses itu.

Dr Ongkili berkata butiran lanjut akan dimaklumkan sebaik sahaja jawatankuasa terpilih itu ditubuhkan secara rasmi oleh Parlimen dan mengadakan mesyuarat pertamanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan anggota Kabinet bagi pencalonan itu yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis.

Terdahulu, Dr Ongkili menegaskan Teknologi maklumat dan Komunikasi (ICT) perlu dijadikan landasan untuk mendapatkan ilmu dan mengakses perkhidmatan kerajaan kepada semua lapisan masyarakat.

Beliau berkata usaha perlu dilakukan bagi memastikan masyarakat di luar bandar tidak ketinggalan untuk menikmati kemudahan ICT.

"Penggunaan ICT di semua sektor bagi meringankan kerja seharian, dalam pentadbiran, transaksi, perdagangan dan bagi memperolehi ilmu perlu melibatkan masyarakat luar bandar," katanya selepas menyampaikan komputer netbook iDOLA 1Malaysia kepada 2,250 pelajar luar bandar dari sembilan buah sekolah menengah.

Beliau berkata, penyerahan komputer tersebut di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan serta program pengagihan netbook 1Malaysia Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia merupakan sebahagian daripada matlamat kerajaan untuk meningkatkan kadar penembusan jalur lebar.

Ongkili yang juga Anggota Parlimen Kota Marudu berkata sejak program tersebut dilaksanakan tahun lalu, sejumlah 10,000 netbook telah diedarkan di Sabah dalam fasa pertama semasa dalam fasa kedua sekarang, 49,800 pelajar akan menerimanya.

Beliau juga mengumumkan akan menyediakan pencetak tanpa wayar kepada sembilan buah sekolah tersebut.

Katanya keupayaan sistem Wi-Fi di pejabat Anggota Parlimennya dan pusat InfoSTI@MOSTI di Pekan Kota Marudu akan ditambah bagi membolehkan masyarakat terutama pelajar melayari Internet dengan menggunakan netbook iDOLA 1Malaysia. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment