Friday 30 September 2011

MCA SABAH JANGAN JADI PENYIBUK!



Oleh: MEDIA PAS SABAH

PAS Negeri Sabah membidas Pengerusi MCA Sabah, Datuk Edward Khoo, yang terlalu celupar dan menjadi penyibuk dengan mencampuri hal ehwal umat Islam melalui kenyataan beliau yang tersiar dalam akhbar tempatan pada 29 September 2011; berhubung penentangan MCA Sabah ke atas perlaksanaan undang-undang hudud yang telah ditegaskan hanya melibatkan umat Islam di negeri Kelantan sahaja.

PAS Negeri Sabah juga mengambil maklum satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Pengerusi MCA Sabah, Chew Kok Wah, pada 21 September, yang bukan sahaja menghentam peribadi pemimpin tertinggi PAS Pusat, tetapi terbabas sehingga ke peringkat melemparkan tuduhan-tuduhan liar yang boleh menjejaskan integriti dan kredibiliti mereka.

Dalam memberikan reaksinya di atas keceluparan kedua-dua pemimpin MCA Sabah, Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hj Hamzah Abdullah, menegaskan bahawa, dalam pada umat Islam memperakui kewujudan masyarakat majmuk berbilang agama dan kepercayaan dalam sebuah negara seperti Malaysia, memperakui juga hak setiap penganut pelbagai agama untuk bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Artikel 3, maka kenyataan yang dikeluarkan oleh MCA Sabah yang menentang kebebasan umat Islam untuk mengamalkan ajaran-ajaran Islam adalah bersifat menyanggah peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan Artikel 3.

Hj Hamzah selanjutnya berkata bahawa undang-undang hudud adalah khusus untuk umat Islam dan oleh sebab itu MCA tiada hak untuk mencampuri urusan umat Islam negara ini!

Undang-undang hudud ciptaan Allah adalah bermatlamat sebagai ‘kawalan’ dan ‘pencegahan’ yakni berfungsi mencegah orang ramai dari melakukan jenayah dan perlakuan-perlakuan yang diharam dan dicegah oleh Islam.

Ini bererti hanya mereka yang mempunyai perangai suka merompak, mencuri, merogol dan membunuh sahaja yang takut kepada undang-undang hudud. Rakyat yang cintakan kepada keamanan dan kerukunan hidup tanpa jenayah tidak akan bimbang terhadap perlaksanaan hukum hudud.

PAS Sabah menasihatkan MCA supaya menerima realiti bahawa semakin ramai rakyat Malaysia keturunan Cina yang telah memahami prinsip keadilan undang-undang hudud. Ini disebabkan mereka sering mendengar ceramah dan penjelasan daripada pemimpin-pemimpin PAS dan mereka berkawan dengan ahli-ahli PAS.

Oleh sebab itu, keahlian Dewan Himpunan Penyokong PAS yang dianggotai oleh masyarakat non-Muslim semakin meningkat dari sehari ke sehari. Masalah dengan MCA Sabah ini ialah mereka berkawan dengan UMNO, yang tiada minat untuk menjelaskan matlamat perlaksanaan hudud.

Malah, kalau dilihat dari kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh para pemimpin UMNO dalam media arus perdana, UMNO turut menjuarai penentangan perlaksanaan undang-undang hudud. Pelbagai alasan direka-cipta oleh UMNO untuk menentang perlaksanaan hudud di Kelantan.

PAS Sabah menyeru semua pihak supaya memberi peluang undang-undang hudud terlaksana di Kelantan. Biar rakyat yang menilainya sama ada benar atau tidak bahawa undang-undang ciptaan Allah ini mampu mengurangkan jenayah yang peratusannya semakin meningkat saban tahun.

No comments:

Post a Comment