Thursday 1 September 2011

NOSTALGIA SAMBUTAN SERENTAK HARI MALAYSIA



SAMBUTAN Hari Kemerdekaan ke-54 tahun ini mencatat sejarah tersendiri apabila jatuh pada hari raya kedua manakala sambutan rasmi pula diadakan serentak dengan Hari Malaysia pada 16 September nanti.

Keputusan kerajaan menunda sambutan rasmi Hari Kemerdekaan yang tahun ini bertema '1Malaysia: Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera' daripada tarikh biasa pada 31 Ogos, memberi makna besar khususnya bagi rakyat Sabah dan Sarawak.

Ini kerana selain menghayati erti kemerdekaan, sambutan pada 16 Sept ini turut menyaksikan seluruh rakyat meraikan ulang tahun penubuhan persekutuan Malaysia yang disertai Malaya, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura.

Di KOTA KINABALU, Timbalan Pengerusi Tekun Nasional Datuk Jumat Idris yakin dengan adanya perayaan berkembar itu, rakyat di Sabah dapat merasakan mereka benar-benar meraikan hari kemerdekaan.

"Bagi rakyat Sabah, apa yang kami harap-harapkan kini hampir pasti menjadi kenyataan. Saya amat optimis perayaan berkembar ini akan disambut baik oleh rakyat Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas keputusan itu dan berharap perayaan berkembar tersebut dikekalkan.

"Kalau tidak kita dilihat sebagai satu negeri yang menyertai gagasan Malaysia, sebenarnya kita membentuk bersama, kita sama-sama menjayakan gagasan Malaysia dan tidak harus timbul isu perbezaan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia," katanya.

Jumat berkata langkah itu juga akan memantapkan lagi gagasan 1Malaysia yang sudah diterima baik oleh rakyat di negara ini, sekali gus membantu merealisasikan hasrat Perdana Menteri untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

Sementara itu, pegawai Lembaga Pelancongan Sabah Sabah, Hana Sue Harun berkata sambutan berkembar itu satu permulaan yang baik dalam mengiktiraf kepentingan tarikh 16 Sept.

"Bagi kami rakyat Sabah, sejak Sabah dan Sarawak menyertai persekutuan membentuk Malaysia pada tarikh itu, sudah tentu sambutan berkembar ini amat dihargai," katanya ketika dihubungi.

Malah katanya, keputusan kerajaan mewartakan 16 Sept sebagai cuti umum bermula tahun lepas juga satu petanda baik serta berharap langkah itu akan memberi makna mendalam kepada golongan muda, dan tidak menganggapnya sekadar satu lagi hari cuti umum.

Penjawat awam Roena Chu, 29, berpandangan sambutan berkembar tersebut satu langkah bijak bagi menjimatkan kos.

"Walaupun saya rasa bangga akhirnya dapat raikan tarikh itu, tapi bagi kebanyakan orang 16 Sept masih lagi kurang signifikan, mungkin kerajaan boleh buat lebih banyak program untuk membangkitkan kesedaran berbanding sekadar menjadikannya hari cuti umum," kata warga Suruhanjaya Pilihan Raya itu.

Di KUCHING, rata-rata penduduk Sarawak melihat?-A/l[z.9DeSK1yng mengingatkan mereka akan perjuangan pemimpin terdahulu serta susur galur mereka untuk membangunkan negara.

Bagi Gracie Geikie dari Fakulti Hospitaliti dan Pengurusan Universiti UCSI, rakyat Malaysia harus diingatkan mengapa tarikh 16 Sept itu penting.

"Sebagai orang Sarawak, saya bangga dengan kemerdekaan negara kita dan apa yang telah dicapai," katanya yang menambah nilai serupa harus ditanam pada jiwa belia sekarang.

Golongan itu katanya, harus diingatkan jerih payah golongan terdahulu dalam memperjuangkan kebebasan negara dan kedaulatannya.

Pengarah Pengurusan Antap Geosorces Sdn Bhd Nathan Achuck yang ditemui Bernama, berkata Sarawak menerima banyak faedah daripada pembentukan Malaysia yang membuatkan beliau berbangga menjadi rakyat negara ini.

Katanya sebagai ahli geologi, beliau merantau ke seluruh dunia dan sentiasa membandingkan pencapaian Malaysia dengan negara yang dilawatinya, sekali gus membuatkan beliau amat menghargai perpaduan, keamanan dan kestabilan yang dinikmati negara ini, terutama di Sarawak.

"Pengalaman itu membuatkan saya lebih menghargai apa yang kita ada kerana sebagai sebuah negara, kita kini jauh ke hadapan berbanding kebanyakan negara yang mencapai kemerdekaan lebih awal daripada kita," katanya.

Justeru katanya, amat penting bagi rakyat meraikan hari kemerdekaan untuk mengingatkan diri mereka bahawa masa depan negara tidak boleh dipertaruhkan hanya kerana isu remeh yang boleh mencetuskan kekacauan dan perpecahan.

Ketua Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS) Senator Doris Brodie berkata rakyat Malaysia beruntung kerana dapat meraikan ulang tahun ke-48 Hari Malaysia bersama Hari Kemerdekaan, terutama ketika dunia menghadapi pelbagai cabaran sekarang.

"Bagaimanapun kita tidak boleh mengambil mudah keamanan dan kestabilan yang kita kecapi sekarang dan sebagai rakyat Malaysia kita harus bekerjasama memastikan keadaan ini berkekalan," katanya yang mahu sebarang unsur ekstremisme ditolak.

Bagi Susan Angking yang berasal dari rumah panjang di Seruai, Betong, mempunyai 'anak tempatan' sebagai pemimpin seperti Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu serta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas memberi bonus tambahan kepada kampungnya daripada segi pembangunan.

"Sebagai seorang yang lahir sebelum pembentukan Malaysia, saya dapat melihat banyak pembangunan fizikal berlaku, tetapi masih banyak yang harus dilakukan bagi mengarusperdanakan penduduk pedalaman," katanya yang bekerja dalam sektor perbankan.

Katanya adalah wajar bagi Sarawak yang kaya dengan sumber bumi menerima peruntukan pembangunan yang setanding dengan negeri lain daripada kerajaan persekutuan. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment