Thursday 15 September 2011

PAS MULA BERCAMBAH DI BATU SAPI



Oleh : KRANGKANG BATRUSI

SAMBUTAN Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Batu Sapi mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran pengunjung seramai 500 orang, melebihi jangkaan awal seramai 300 orang.

Sungguhpun Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS yang dijadualkan hadir membatalkan kedatangannya di saat akhir atas urusan lain, ia tidak mematahkan semangat tetamu jemputan khususnya orang kampung untuk turut serta dalam acara yang julung kali diadakan ini.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah, Tuan Haji Hamzah Abdullah menyifatkan kehadiran pengunjung yang di luar jangkaan itu menunjukkan momentum rakyat Sabah yang mula menyokong dan memahami perjuangan PAS.

“Di mana-mana pun PAS mengadakan program, sambutan yang ditunjukkan oleh rakyat amat memberangsangkan. Malam semalam ceramah Presiden PAS di Kg. Pasir Putih, Tawau turut menghimpunkan penyertaan yang cukup ramai daripada penduduk kampung khususnya anak muda,” kata beliau.

“Rakyat mula sedar akan taktik kotor Umno/BN yang hanya menggula-gulakan rakyat pada musim pilihanraya. Bila dia (Umno/BN) mahu undi kita, dia akan berikan kita RM50, kain pelekat, zink 3 keping, tangki biru dan lain-lain lagi untuk tarik perhatian.

“Selepas menang, tanah rakyat dijual, rumah dirobohkan, rakyat dibiarkan merempat hanya kroni yang dikenyangkan. Inilah taktik Umno/Bn yang sudah membusuk. Rakyat telah bangun dari lena. Apabila diberi duit dan barang-barang, mereka ambil. Tapi apabila mengundi, rakyat pangkah Pakatan Rakyat,” katanya lagi.

Hamzah berkata demikian dalam ucapan pada Majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran PAS Batu Sapi yang diadakan di Kg. Lupak Meluas di sini.

Hamzah juga telah menerima 40 borang permohonan ahli PAS daripada wakil penduduk Pulau Shanghai, Halin Osman. Selain itu, majlis juga dimeriahkan dengan acara penyerahan bantuan zakat daripada PAS Batu Sapi kepada 10 orang penerima.

Turut hadir dalam sambutan tersebut ialah Timbalan YDP PAS Sandakan, Sahar Majid bersama ahli jawatankuasanya.

No comments:

Post a Comment