Monday 19 September 2011

PENDUDUK TAMAN MAWAR DIANCAM TOKSIK



Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : AH YON SHIDA

PENYIMPANAN tong-tong yang berisi toksik di sebuah rumah di Lorong 30, Blok 103, Taman Mawar Sandakan oleh penghuninya akan mengundang malapetaka dan bahaya di samping boleh membunuh ramai manusia; khususnya penduduk-penduduk berhampiran.

Pemilik bahan toksik berkenaan sudahpun dimaklumkan beberapa kali agar tong-tong yang berisi bahan racun itu hendaklah dialihkan atau dipindah daripada kawasan rumahnya; tetapi semakin degil sehingga tidak mengendahkan nasihat jiran-jirannya.

Ekoran tindakan dan kedegilan pemilik tong tersebut yang enggan mengalihkan tong-tong toksik, maka penduduk berhampiran terus dihantui kebimbangan dengan insiden yang tidak dijangkakan.

Seorang penduduk Taman Mawar, Ah Yon Shida (gambar sisipan) memberitahu Sabahkini.Net bahawa lebih 10 buah tong yang berisi bahan toksik itu disimpan sudah berbulan-bulan lamanya di bawah panas terik matahari; sudah pasti akan mengundang kecelakaan kepada jiran-jiran terdekat sekiranya tong tersebut meletup atau terbakar.

“Saya mewakili penduduk berhampiran meminta Jabatan Alam Sekitar dan juga pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) agar mengambil tindakan segera kepada pemilik tong-tong tersebut, sebelum sesuatu perkara buruk yang tidak diingini berlaku yang boleh mengorbankan nyawa orang lain,” ujarnya.

Tegas Ah Yon Shida, jika JAS dan MPS enggan mengambil tindakan, beliau tidak teragak-agak akan membuat laporan polis dan mengundang TV3 membuat liputan berhubung isu ini demi memastikan tidak ada yang terkorban di atas kecuaian penjenayah alam sekitar ini.

No comments:

Post a Comment