Wednesday 28 September 2011

PERSYARIKATAN AYAM DAN LEMBU



Oleh : JAMES AIK

SUATU masa dahulu, kira-kira 48 tahun yang lalu, ada cerita mengenai seekor ayam betina tinggal di reban yang usang. Ayam betina ini bercita-cita menjadi peniaga telur yang berjaya.

Malangnya dengan reban yang usang dan persekitaran yang serba kekurangan, ayam ini menyedari tidak mampu mencapai cita-citanya. Setiap hari ayam ini memikirkan cara bagaimana menjadi peniaga telur yang berjaya. Sementara dia berfikir itu, ayam ini melihat di luar reban usangnya.

Tidak jauh daripada reban ayam itu ada suatu padang rumput yang subur menghijau dan luas. Di padang rumput itu ada seekor lembu betina yang gemuk.

Melihat kepada padang rumput yang subur dan luas serta lembu betina yang gemuk, ayam betina ini menjadi iri hati dan mula berfikir.

“Alangkah baiknya kalau aku memiliki padang rumput yang subur itu,” kata Ayam betina ini sambil berfikir dan terus berfikir dan akhirnya dia mendapat satu idea.

“Aku akan berpura-pura bersahabat dengan lembu. Kalau dia berjaya menjadi sahabatku, barulah aku buat rancangan yang baru,” katanya.

Atas usaha yang sungguh-sungguh, ayam betina itu berjaya menjadikan lembu gemuk itu sebagai sahabatnya.

Kemudian ayam betina itu kongsikan cita-citanya untuk menjadi peniaga telur yang berjaya. Lembu betina itu mula terbuka fikirannya. Lembu itu juga mula bercita-cita untuk menjadi peniaga susu yang berjaya. Lalu lembu itu pun menceritakan hasratnya untuk menjadi peniaga susu yang berjaya.

Ayam betina itu mula berfikir, “Kalau lembu ini menjadi peniaga susu, sudah tentu telur aku tidak laku. Lebih-lebih lagi reban aku yang serba kekurangan. Dia ini sudahlah tinggal di padang rumpunt yang subur, sudah pasti dia akan mengeluarkan beberapa liter susu dalam sehari berbanding saya hanya sebiji telur sehari. Sudah pasti dia akan lebih maju dari aku.”

Ayam itu kemudian membuat suatu formula rakan kongsi perniagaan dengan lembu berkenaan.

“Beginilah sahabat ku lembu, kita buat satu perniagaan rakan kongsi,” kata ayam.

"Boleh!" kata lembu itu tanpa berfikir panjang.

Ayam itu melihat kepada lembu. Badan, ekor dan kaki. Kemudian lihat kepada padang rumput yang hijau tempat lembu tersebut. Kemudian ayam itu mencadangkan formulanya.

“Saya jual telur dan untungnya kita bahagi bersama. Kau pula, jual daging dan untungnya kita bahagi bersama.”

“Di mana saya boleh dapat daging? Saya jual susu saja!” kata lembu.

“Tidak. Susu tidak laku. Budak-budak ramai yang tidak suka minum susu. Mereka lebih suka makan telur. Tapi kalau daging ramai yang suka. Lagi pun daging lebih mahal daripada susu,” kata ayam itu.

“Jadi di mana saya boleh dapatkan daging untuk dijual?” tanya lembu.

“Begini (kata ayam itu penuh lemah lembut), Saya akan hiris dagingmu setengah kilo saja tiap-tiap bulan. Saya pula akan keluarkan sebiji telur tiap-tiap hari. Jadi satu bulan saya ada 30 biji telur, kau ada setengah kilo daging. Jangan susah, saya mempunyai kepakaran menghiris daging. Pasti kau tidak akan terasa kesakitan,” kata ayam itu meyakinkan lembu.

Tanpa memikirkan tentang keselamatannya dan generasinya, lembu ini bersetuju dengan perlawaan rakan kongsi itu. Maka termeterailah perjanjian rakan kongsi yang dipanggil 20 Perkara.

Setelah 20 Perkara ditandatangani, maka terbentuklah persyarikatan di antara Ayam dan Lembu pada 16 September 1963, yang dinamakan persyarikatan MALAYSIA.

Pada tahun pertama, ke dua sampai ke empat; ayam penipu itu berusaha untuk mengeluarkan telur setiap hari. Pada masa yang sama ayam ini berusaha mempastikan persahabatan rakan kongsinya tidak menghadapi sebarang perselisihan.

Namun pada tahun kelima, ayam ini mula mencari-cari jalan bagaimana memperolehi keuntungan yang lebih hasil perkongsian persyarikatan itu. Ayam ini mula membuat beberapa formula yang tidak diketahui oleh Lembu tersebut.

Kemudian tahun-tahun berikutnya ayam melancarkan formula baru, menambah setengah kilo daging daripada badan lembu tersebut. Ertinya lembu tersebut harus mengeluarkan 1 kilo daging setiap bulan. Ayam tetap juga sebiji telur sehari. Walaupun terasa sakit, tapi si lembu berfikir, tidak apa kerana nanti sakit itu sembuh juga.

Setelah sepuluh tahun berlalu, ayam melihat perniagaan itu menampakkan kejayaan kepada dia. Badan Lembu pula tidak lagi secantik dan segemuk dulu. Beberapa bahagian di paha mula kempis. Kecacatan itu tidak ketara kerana ayam berjaya menampal daging yang hilang itu menggunakan kulit lembu itu sendiri.

Ayam itu terfikir, “kalau sekadar untung tapi zuriatku tidak berkembang, tiada juga gunanya.”

Lalu Ayam membuat formula baru tanpa pengetahuan lembu. Setiap bulan ayam itu mengambil sebiji telur untuk ditetas. 29 biji yang lain dia jual.

Beberapa tahun kemudian ayam itu tidak lagi keluarkan 30 biji telur sebulan tapi berpuluh-puluh biji. Sebab telur yang ditetas juga telah mengeluarkan ayam dan ayam itu pula keluarkan telur. Jadi ayam semakin banyak, telurnya juga semakin banyak. Ibu ayam itu sangat gembira melihat ayam semakin banyak. Ayam itu semakin berani.

Ayam itu tidak takut-takut lagi untuk berbuat apa saja yang dia suka dalam perkongsian niaga dengan lembu.

Akhirnya kata Ayam kepada lembu, “Sahabatku lembu! Nampaknya perniagaan kita semakin maju. Sekarang saya bukan lagi keluarkan 30 biji telur, tapi berpuluh-puluh biji. Jadi sahabatku perlu juga keluarkan lebih daging supaya adil.“

Maka setiap bulan dua kilo daging dipotong dari badan lembu untuk dijual. Tapi sekilo daging dijual, sekilo lagi adalah makanan untuk keluarga ayam itu.

Bila tiba hasil pembahagian keuntungan, ayam hanya memberikan 5% hasil jualan satu kilo daging. 95% hasil sekilo daging dibahagi-bahagikan di antara keluarga ayam, sementara harga penuh sekilo adalah untuk ibu-ibu ayam.

Lembu tidak dapat berbuat apa-apa kerana asyik merasakan kesakitannya dan memikirkan tentang badannya yang semakin kurus.

Melalui persyarikatan itu, ayam mengambil peluang memperbaiki tempat ayam-ayam itu bertelur. Ayam itu membina jalan berturap yang cantik-cantik dan bertingkat-tingkat. Ayam itu juga membina bangunan yang indah-indah termasuk menara berkembar. Lembu pula semakin kurus, sebab dagingnya telah diambil.

Keluarga ayam semakin ‘ramai’, maka telur juga semakin banyak. Ayam tidak lagi keluarkan berpuluh-puluh biji telur tapi beratus-ratus biji. Ayam semakin berani buat peraturan. Kali ini ayam menuntut lembu supaya keluarkan beberapa kilo daging setiap minggu mengikut kehendak ayam tersebut.

Lembu hanya menurut sebab takut kepada ayam yang sudah banyak. Dia tidak fikir bahawa pendapatan harga dagingnya jauh lebih tinggi berbanding telur ayam.

Setelah empat puluh tahun perniagaan rakan kongsi itu berjalan, daging lembu semakin sedikit, maka badan lembu pun semakin kurus. Semua daging-daging pada paha dan badannya sudah habis. Yang tinggal hanya kulit, urat dan tulang. Tapi ayam semakin ramai dan gemuk. Reban ayam juga jauh lebih cantik dari padang rumput. Sebab ayam-ayam juga makan rumput di padang lembu.

Saudara, 16 September lalu genap 48 tahun perniagaan rakan kongsi antara ayam dengan lembu berkenaan. Hari ini lembu itu sudah tidak dapat berdiri, sudah terlalu kurus. Seluruh daging yang melekat di tulang lembu itu pun sudah dikikis. Yang ada pada lembu hanya nyawanya. Tetapi lembu itu belum mati dan masih boleh diselamatkan.

Saudara, itulah gambaran mengenai persyarikatan Malaysia. Fikirkanlah bahawa lembu itu adalah bangsa kita dan tanah air kita. Sekali lagi saya minta saudara lihat di sekeliling kita.

Tanah yang dibuka luas di Sabah adalah tanah nenek moyang kita yang telah diwariskan kepada kita. Tapi sekarang tanah itu bukan lagi milik kita. Kita masih bersyukur sebab kita masih bernyawa, walau pun kita sekarang dalam keadaan tenat.

Hanya satu jalan lagi, kalau saudara adalah tulang kepada lembu itu jadilah tulang yang kuat. Kalau saudara adalah urat kepada lembu itu, jadilah urat kukuh. Kalau saudara adalah kepala, jadilah kepala yang mampu melihat jauh dan melihat keseluruhan bangsa kita dan tanah air kita.

Urat, tulang dan kepala serta kulit yang tertinggal perlu bersatu membentuk tenaga seekor lembu yang perkasa. Apa pun sukumu, apa pun agamamu, dari mana pun kampungmu, selagi engkau adalah Orang Asal, kita perlu bersatu demi tanah air warisan nenek moyang yang diceroboh dan diperkosa ini.

Bersatulah membela maruah bangsa kita dan tanah air kita!

No comments:

Post a Comment