Wednesday 28 September 2011

PGM MASIH RELEVAN DI PERAIRAN SABAH



ALBUM...Barisan Pegawai Kanan dan anggota Pasukan Gerakan Marin.

Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto: SAFFIE S JUMADI

“KHIDMAT dan fungsi Pasukan Gerakan Marin (PGM) masih relevan dalam usaha mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam khususnya melibatkan perairan negeri ini,” kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Dato' Salleh Mat Rasid.

Bercakap kepada wartawan selepas melakukan lawatan kerja ke Pangkalan Marin Sabah di Sandakan, baru-baru ini, beliau berkata pasukan itu mampu untuk melaksanakan tugas dengan baik berdasarkan pengalaman dan keupayaan walaupun tanggungjawab penugasan sudah agak berbeza.

Beliau yakin dan percaya walaupun tugas dan tanggungjawab di lautan merupakan tugas baru Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tetapi PGM masih lagi relevan untuk mengekang sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Katanya, keyakinan itu turut melihat kepada produktiviti PGM yang semakin bertambah baik dan mantap apabila membuat tangkapan serta rampasan hasil kerjasama serta maklumat orang awam selama ini.

"Kita akan memantapkan lagi penugasan PGM yang kini diberikan tanggungjawab untuk mengawasi sungai, pulau, pelabuhan dan tasik setelah pihak APMM mengambil tugas-tugas di lautan.

"Dengan kawasan tanggungjawab yang baru ini, kita akan perkemas dan perkasakan penugasan demi memastikan keselamatan mahupun ketenteraman awam di negeri ini terus berada dalam keadaan baik serta terjamin," jelasnya.

Menurutnya, PGM akan bekerjasama dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) termasuk agensi-agensi sedia ada bagi membanteras sebarang ancaman musuh menerusi kerjasama secara berpasukan.

Ditanya mengenai logistik pasukan itu, Salleh memberitahu pihaknya sentiasa mengambil berat setiap keperluan yang melibatkan permohonan bot dan kelengkapan lain.

"Kita sentiasa peka dan akan berusaha untuk membantu setiap keperluan pasukan kontinjen ini. Sebab itulah, saya datang ke Sandakan untuk melihat perancangan dan persediaan yang sedia ada di bawah KDNKA ini.

"Ini merupakan lawatan rasmi saya yang pertama, saya telah mendapat taklimat mengenai penugasan PGM dan PGA yang boleh kita gembleng bersama dalam mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam di Sabah dengan penglibatan agensi-agensi jabatan lain. Apa yang kita lihat di sini bahawa kerjasama perlu dipertingkat dan digabungkan kerana untuk memastikan keselamatan terus terjamin, kerjasama sebeginilah yang amat penting," kata beliau.

Hadir sama ialah Komander Briged Sabah PGA, SAC Ahmad Marzuki Mohd Saad; Komander PGM, SAC Dato' Isa Munir dan Timbalan Pengarah PGA, Dato' Muhammad Fuad Abu Zarim.

No comments:

Post a Comment