Thursday 15 September 2011

PUSAT KEBUDAYAAN BISAYA DIBINA HUJUNG 2011



LAWATAN ….Lajim bersama Timbalan Presiden PBBS Kamarlin Haji Ombi, Naib-Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi ketika mengadakan lawatan ke tapak cadangan pembinaan Pusat Kebudayaan PBBS.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

PEMBINAAN Pusat Kebudayaan Bisaya dijangka dimulakan selewat-lewatnya penghujung tahun ini.

Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) Janang Gayuh Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata, pusat yang menelan kos RM 3 juta itu mendapat peruntukan dari kerajaan persekutuan yang te;ah tersedia dan hanya menunggu perlaksanaannya.

“Kita telah mengenal pasti satu kawasan seluas 6 ekar sebagai tapak pembinaan pusat kebudayaan ini. Ketika ini kita dalam proses memilih rekabentuk bangunan dan juga pelaksana bagi melaksanakan projek ini,” katanya ketika ditemui selepas meninjau tapak cadangan pembinaan pusat tersebut di Beaufort, kelmarin.

Sebelum itu, Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mempengerusikan mesyuarat khas majlis tertinggi persatuan tersebut bagi membincangkan secara terperinci lokasi pembinaan, reka bentuk bangunan dan perkara-perkara yang berkaitan dengan pembinaan Pusat Kebudayaan tersebut.

Menurut Lajim dari segi reka bentuk bangunan beberapa cadangan telah pun diterima untuk diputuskan oleh majlis kerja tertinggi PBBS yang akan mengekalkan konsep serta rekabentuk yang bercirikan kebudayaan serta kehidupan masyarakat Bisaya.

TAPAK …Inilah kawasan tapak cadangan bagi membina Pusat Kebudayaan PBBS terletak kira-kira satu kilometer dari pekan Beaufort.

Tambahnya, apabila bangunan Pusat Kebudayaan ini siap dibina nanti akan mempunyai sebuah dewan serba guna yang dianggarkan boleh memuatkan sekitar 1,000 orang untuk satu satu majlis, dewan pameran, rumah-rumah tradisi masyarakat Bisaya di samping turut menempatkan ibu pejabat (PBBS).

“PBBS akan memohon kepada kerajaan bagi mentadbir urus bangunan ini kerana kita juga membuka peluang kepada komuniti lain atau NGO untuk menggunakan dewan serta kemudahan yang ada di pusat ini nanti,” tambah Lajim.

Dalam pada itu Lajim turut menyampaikan penghargaan serta terima kasih PBBS kepada kerajaan Pusat di bawah kepimpinan Dato Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak yang telah meluluskan peruntukan bagi membena pusat kebudayaan tersebut yang beliau sifatkan sebagai satu kejayaan terbesar PBBS sejak ditubuhkan.

Menurut beliau, ini merupakan satu pengiktirafan kerajaan terhadap masyarakat Bisaya di negeri ini walaupun sebagai kaum minority, namun kerajaan tetap memberikan perhatian kepada masyarakat Bisaya selaras dengan Gagasan 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh Najib sebagai Perdana Menteri.

Adalah wajar bagi masyarakat Bisaya di negeri ini terus memberikan sokongan terhadap usaha-usaha kerajaan bagi membawa pelbagai projek pembangunan untuk kesejehteraan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

No comments:

Post a Comment