Wednesday 14 September 2011

RISDA BERI RM14,000 HA UNTUK TANAM SEMULA



PIHAK Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) menerima peruntukkan RM121 juta daripada kerajaan untuk memajukan tanah seluas 40,000 hektar di seluruh negara dengan projek tanam semula getah, tahun depan.

Pengerusi Risda Tan Sri Rahim Thamby Chik berkata peruntukan yang diterima minggu lepas itu adalah yang terbesar diterima oleh Risda setakat ini.

"Ia berita yang amat baik kepada pekebun kecil, jadi jangan tangguhkan usaha tanam semula pokok getah ini walaupun harga getah di pasaran ketika ini tinggi," katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Raya Aidil Fitri 2011 Risda Plantation di Kuala Lumpur, kelmarin.

Rahim berkata Risda perlu menjalankan kempen memujuk pekebun kecil supaya tidak melewatkan usaha tanam semula kerana harga komoditi itu akan terus mampan sekaligus mampu menampung dan menjamin kehidupan golongan berkenaan pada masa akan datang.

Menerusi penanaman semula, Risda memberi bantuan RM9,230 kepada setiap pekebun kecil di Semenanjung bagi setiap hektar tanah, manakala bantuan bagi pekebun kecil di Sabah dan Sarawak berjumlah RM14,000.

"Mengikut statistik Risda, terdapat 198,000 hektar kawasan yang ditanam dengan pokok getah tua kini telah sedia untuk ditanam semula," katanya. Rahim berkata pekebun kecil yang memiliki kebun getah tetapi tidak berminat atau tidak berupaya memajukan kebun masing-masing boleh menyerahkannya kepada Risda Plantation Sdn Bhd (RPSB) untuk diusahakan.

"RPSB boleh datang dan majukan tanah tersebut, semua percuma sama seperti skim tanam semula yang dikendalikan oleh Risda dan pekebun akan menerima dividen setiap tiga bulan," katanya.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif RPSB Mohamat Muda ketika dihubungi Bernama berkata untuk tahun 2010 pihaknya memperoleh keuntungan sebelum cukai sebanyak RM8.06 juta melalui 845 projek Tanam Semula Komersil (TSK) dengan keluasan 51,171 hektar dan aktiviti pemasaran serta khidmat kontrak.

"Syarikat juga telah berjaya memberi pulangan dividen 2010 sebanyak RM117.66 juta kepada 26,137 peserta TSK," katanya.

Mohamat berkata sehingga Julai lepas, Risda Plantation mencatat keuntungan sebelum cukai melebihi RM9 juta.

Pada majlis itu, Risda Plantation turut membuat pembayaran zakat sebanyak RM50,000 kepada Pusat Zakat Negeri Melaka dan RM50,000 lagi kepada Pusat Zakat Wilayah Persekutuan serta menyumbang RM10,000 kepada Pondok Baqaratul Qadiri, Kampung Pulau Semut Masjid Tanah, Melaka. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment