Thursday 8 September 2011

RM 200 RIBU PROGRAM BAIK PULIH RUMAH



SERAH…..Kelihatan Jamawi menukul plug sebagai simbol penyerahan rumah Umbung Tupi di Kampung Bakuku Kemabong Tenom dibawah program baik pulih rumah Giat Mara

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) melalui Pusat Giat Mara telah memperuntukan lebih daripada RM200,000 tahun ini bagi membaikpulih 171 buah rumah di daerah Tenom.

Pegawai Giat Mara Daerah Tenom, Norjai Simun berkata program ini dilaksanakan oleh Giat Mara yang melibatkan baikpulih rumah bagi mereka yang layak menerima bantuan seperti baik pulih atap, dinding, lantai dan sebagainya.

Katanya, melalui peruntukan tersebut golongan sasar yang mempunyai taraf pendapatan rendah yang telah dikenal pasti; dapat dibantu bagi membaik pulih rumah mereka kerana usaha ini merupakan antara komitmen kerajaan bagi membantu rakyat yang kurang berkemampuan untuk membaiki rumah mereka yang daif dan uzur.

“Setiap sebuah rumah, kita membelanjakan lebih kurang dalam RM 12,000 bagi membaik pulih rumah mereka dan turut memberikan keselesaan tempat tinggal kepada penerima,“ katanya ketika ditemui selapas Majlis Penyerahan Program Baik Pulih Rumah Giat Mara kepada Umbung Bin Tupi, di Kampung Bakuku, Kemabong, Tenom kelmarin yang telah disempurnakan oleh Ketua Pemuda Umno Tenom, Jamawi Jaafar

Sementara itu, Jamawi yang juga Pegawai Khas kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah ketika ditemui selepas majlis ini berkata, Pemuda Barisan Nasional sebelum ini telah mengadakan program Jelajah One Malaysia (JOM) yang turut melaksanakan program baik pulih rumah yang mendapat kerjasama dari Giat Mara; turut memberi tumpuan terhadap rumah-rumah yang perlu dibaik pulih serta pemiliknya yang tidak berkemampuan dan yang tersenarai dalam sistem e-kasih.

Katanya, program JOM telahpun dilaksanakan di seluruh negara yang turut diperhebatkan semasa bulan Ramadan baru-baru ini dengan membaik pulih dan mengecat masjid dan surau yang dilaksanakan oleh Pergerakan Pemuda Umno dan BN.

Menurut beliau, selain daripada baik pulih rumah terbabit, program JOM juga mengandungi beberapa pengisian lain seperti Khatan Perdana, Sukaneka, Karnival Remaja serta beberapa bentuk bantuan lain yang diperlukan oleh penduduk setempat.

“Program JOM merupakan program Pemuda BN turun ke akar umbi yang mana betul-betul melihat keperluan setempat. Apa yang kita gerakkan adalah kesinambungan daripada apa yang telah laksanakan sebelum ini,” kata Jamawi yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan turut memaklumkan program JOM akan diteruskan selepas ini sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Kita akan perhebatkan lagi program JOM selepas ini, termasuk di kawasan ini, kerana ianya benar-benar memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment