Sunday 11 September 2011

SABAH PENERIMA TERTINGGI BANTUAN JKM



WAWANCARA....Heng sedang diwawancara oleh para wartawan.

Oleh: SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI

TIMBALAN Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Heng Seai Kie membidas sekeras-kerasnya dakwaan parti-parti pembangkang kononnya kerajaan Barisan Nasiolan (BN) bersikap pilih kasih dalam mengagehkan bantuan yang disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dijalankan di seluruh pelusuk tanah air.

Dakwaan yang kerap dilemparkan oleh pihak pembangkang terhadap kerajaan sengaja untuk mengelirukan bagi meraih simpati sokongan rakyat semata-mata dan ia dianggap tidak berasas sama sekali.

Heng berkata demikian kepada wartawan dalam sidang media sejurus selepas merasmikan majlis Kempen Hargailah Kesihatan Anda anjuran Pejabat Parlimen Sandakan di Dewan Serbaguna Chi Wah, di sini kelmarin.

Katanya, kementeriannya mempunyai rekod kerajaan tidak pernah memilih kasih apatah lagi menidakkan hak rakyat di negeri-negeri khususnya di bawah pemerintahan kerajaan pembangkang.

HADIRIN....sebahagian masyarakat yang hadir pada program tersebut.

“Ini jelas terbukti bahawa jumlah bantuan JKM yang telah diagehkan ke seluruh negara pada tahun 2010 sejumlah RM1.2 billion dan dimanfaatkan 481,000 orang penerima yang terdiri daripada pelbagai kaum tanpa mengira fahaman ideologi politik termasuk di kawasan kawasan DUN yang diperintah oleh pembangkang,” jelas Heng.

Heng selanjutnya menjelaskan, agehan bantuan tersebut turut menunjukkan bahawa Sabah adalah menduduki tempat pertama sebagai penerima bantuan tertinggi iaitu sejumlah RM221,157,415 yang membabitkan 57,727 kes yang kemudian diikuti oleh Kedah, Selangor, Johor dan Kelantan.

“Saya ingin jelaskan di sini, Kerajaan melalui agensinya iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat ini merupakan tunjang bagi meningkatkan taraf hidup dan membantu golongan yang memerlukan; tanpa mengira kaum atau agama selaras dengan kedudukan geografi dengan konsep 1 Malaysia yang diasaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,” ujarnya.

Dalam usaha membasmi kemiskinan kata Heng lagi, kerajaan tidak pernah bersikap pilih kasih kerana sudah menjadi kewajiban kerajaan untuk mengagehkan bantuan sedemikian secara adil dan saksama tanpa meminggirkan sesiapapun.

“Saya menegaskan pihak pembangkang sebelum mengiritik atau menghentam kerajaan mereka, harus meneliti terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tuduhan yang tidak berasas kerana kerajaan mempunyai rekod,” tegasnya.

PENGHARGAAN......Heng sedang menyampaikan sijil kepada ketua NGO yang turut sama menyertai program ini.

Tambah Heng lagi, bantuan yang diagehkan berdasarkan prinsip ‘Siapa yang memerlukan bantuan akan dibantu’; JKM telah mengagehkan bantuan seumpamanya mengikut kehendak dan kriteria masing-masing.

“Kementerian saya sudahpun mengambil inisiatif dengan menghantar pegawai Projek Cari Keluar (PCK) untuk mengesan dan mengenal pasti terhadap golongan miskin dan kurang upaya untuk dihulurkan bantuan segera. Jadi parti pembangkang jangan membabi buta menghentam kerajaan kalau tidak tahu apa sebenarnya yang telah dilakukan,” tegasnya.

Selain itu Heng memuji kegigihan Ahli Parlimen Sandakan, Datuk Liew Vui Kiong yang sentiasa berusaha memperjuangkan nasib kepentingan rakyat sehingga membolehkan bantuan disalurkan kepada golongan tersebut.

Kata Heng lagi, Kempen Hargailah Kesihatan Anda yang dianjurkan oleh Pejabat Ahli Parlimen P186 Sandakan dengan kerjasama badan-badan NGO lain bertujuan untuk merapatkan hubungan pemimpin dan kementerian bersama warga Sandakan melalui beberapa program secara interaktif.

No comments:

Post a Comment