Monday 26 September 2011

SANDAKAN TUAN RUMAH AIDS KEBANGSAAN


CENDERAHATI..... Au menerima cenderahati kenangan daripada Dr Zaitun Yahya.

Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI

“HARI AIDS Sedunia disambut pada 1 Disember setiap tahun di seluruh dunia dengan tema yang berbeza-beza dan saya difahamkan daerah Sandakan telah terpilih sebagai tuan rumah bagi sambutan AIDS Peringkat Kebangsaan pada tahun ini yang akan diadakan pada 10 Disember 2011.

“Program yang diadakan pada hari ini, merupakan satu daripada aktiviti pra-pelancaran untuk sambutan ‘Hari AIDS Sedunia’ lantas bersempena dengan itu, semua pihak adalah diminta untuk membuat komitmen bagi membanteras AIDS dan pada masa yang sama menyempurnakan dan memperkukuhkan komitmen terdahulu.”

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Au Kam Wah menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Pra Pelancaran Sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat Kebangsaan 2011 yang dilangsung di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Sandakan (SMK) II, pagi kelmarin.

Katanya kerajaan juga akan memastikan kemudahcapaian kepada pencegahan, rawatan, penjagaan dan sokongan diberikan secara seksama dan menyeluruh di samping hak-hak individu dipelihara.

Namun begitu, sambung Au semua pihak, sama ada daripada agensi kerajaan, NGO, badan antarabangsa, pihak swasta serta setiap segenap lapisan masyarakat dan individu hendaklah komited untuk berganding bahu serta menggembleng tenaga di dalam menangani HIV dan AIDS.

ALBUM...Au dan Dr Zaitun bergambar dengan para johan pertandingan Melukis dan sebagainya.

Au menambah AIDS diterjemahkan dalam bahasa Melayunya yang bermaksud ‘Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit’ disebabkan oleh virus HIV yang dipindahkan daripada pesakit kepada orang lain melalui beberapa kaedah.

“Antaranya seperti melalui perkongsian alat-alat suntikan di kalangan penagih dadah yang telah tercemar dengan Virus HIV ataupun lebih jelas lagi melalui seks rambang dengan pasangan yang telah dijangkiti HIV,” tambah Au lagi yang menasihati para ibubapa jangan terlalu memberikan kebebasan kepada anak-anak perempuan mereka tanpa had.

Majlis Pra-Pelancaran Hari AIDS Sedunia Peringkat Kebangsaan anjuran Jabatan Kesihatan Sandakan dengan kerjasama SAGA dan Jabatan Pelajaran Daerah yang menyelitkan beberapa program.

Antaranya ialah pertandingan Mewarna bagi kategori sekolah rendah, Pertandingan Melukis Poster kategori sekolah menengah, Pertandingan Pidato kategori sekolah menengah, Ceramah Kesihatan HIV-AIDS yang disampaikan oleh Dr Zaitun Yahya (Dr Pakar Kesihatan Pesakit Luar Kelinik Kesihatan Sandakan) yang disertai seramai 250 murid dan penuntut yang membabitkan keseluruhan sekolah rendah dan sekolah menengah di daerah Sandakan.

No comments:

Post a Comment