Wednesday 21 September 2011

SAPP TERAPKAN SEMANGAT ANAK KAMPUNG



Oleh: THAMPPAREQ KITOES

ANAK KAMPUNG! Satu-satunya jolokkan yang pernah dianugerahkan oleh ‘orang terdahulu’ apabila melihat kelicikan dan ketangkasan seseorang belia dalam apa juga aktiviti; terutamanya dari segi kesukanan yang dikuasai dengan begitu tangkas dan gagah mampu memukau sesiapa yang menontonnya.

Semangat sedemikian yang cuba diketengahkan semula oleh Pengerusi Pergerakan Pemuda SAPP Zon Pedalaman, Rudy Sulaiman Mairi ketika merasmikan perlawanan Futsal antara Zon Daerah mengundi CLC Melalap yang telah diadakan di Gelanggang Sukan Futsal di Kg Sawang baru-baru ini.

Sebanyak 6 pasukan berjaya ke peringkat akhir iaitu Kalang, Kanar, Lagud, Pulong, Melalap dan Sawang; seterusnya akan bertarung pula di peringkat daerah-daerah (CLC) di Pedalaman dan pasukan yang menjadi Juara akan mewakili Pedalaman ke peringkat Sabah.

Rudy yang mengilhamkan acara tersebut menjelaskan bahawa setiap peserta tidak semestinya seseorang belia itu telah menjadi ahli SAPP, sebaliknya ianya terbuka kepada semua belia yang belum berparti kerana antara lain modus operandi aktiviti itu berkonsepkan ‘Inklusif’ dan bukan ‘Eksklusif’.

“Kita juga tidak bermaksud untuk mengheret generasi muda supaya berkecimpung dalam politik dalam usia seawal itu, namun tujuan kita adalah sebagai pengisian masa yang banyak terluang bagi para belia daripada mereka terjerumus dengan pelbagai gejala sosial negatif yang akhirnya akan merosakkan masa depan mereka,” tegas Rudy.

Selain itu, Rudy turut menegaskan bahawa aktiviti sedemikian adalah sejajar dengan matlamat dan hala tuju perjuangan SAPP yang memberi penekanan terhadap masa depan para belia dan beliawanis di negeri ini supaya golongan ini tidak akan terpinggir di dalam arus perdana pembangunan, lebih-lebih lagi jika SAPP ditakdirkan mengambil alih tampuk kerajaan pada PRU13 kelak.

“Kita tidak mahu menunggu sehingga SAPP mengambil alih kuasa kerajaan, baru mula menyusun semula program belia, tetapi kita hendaklah bermula dari sekarang setakat mana yang kita dapat lakukan, yang seada-adanya,” tambahnya lagi.

Beliau menambah bahawa matlamat perjuangan SAPP bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan negeri dan Negara; malah akan turut memainkan peranan yang lebih efektif untuk mempastikan golongan belia dan beliawanis terus terbela dan meletakkan mereka di atas puncak yang lebih bermaruah dan berwibawa tinggi.

No comments:

Post a Comment