Thursday 29 September 2011

SOGT KIMANIS NADI PEMBANGUNAN SABAH



JAWAP…Lajim ketika menjawap pertanyaan pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Ketua Penyelaras MAYANG Parlimen Beaufort Hajah Johiar Matlani di kampung Kebatu, Beaufort.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

Projek Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT), yang dibangunkan oleh Petronas di Kimanis akan menjadi nadi kepada pembangunan negeri ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Ukin berkata projek itu, bukan sahaja dapat dinikmati oleh masyarakat di sekitar Kimanis, namun akan memberikan impak yang positif kepada daerah berdekatan termasuk daerah Beaufort .

Menurut beliau projek tersebut bukan sahaja menggalakkan industri petroleum di negeri itu, tetapi juga menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, selain kerja kontrak.

Bagaimanapun, beliau bersependapat dengan pandangan beberapa orang pemimpin politik di negeri ini yang diutarakan sebelum ini; agar lebih ramai rakyat tempatan diberikan peluang untuk menikmati kemajuan melalui peluang kepada usahawan baru yang ada hubung kait dengan industri gas dan minyak.

"Dengan perkembangan ini, secara langsung, akan membawa kemajuan kepada negeri Sabah di samping memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, khususnya rakyat Sabah," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Ketua Penyelaras MAYANG Parlimen Beaufort, Hajah Johair Matlani bersama suaminya Jawarin Nasar yang juga Pegawai khas Pembangunan Parlimen Beaufort.

Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort, berkata demikian ketika diminta mengulas impak dari perlaksanaan projek (SOGT) di Kimanis kepada daerah-daerah berdekatan termasuklah di kawasan Parlimen Beaufort yang beliau wakili.

Menurut Lajim, dengan kewujudan projek itu di sini, bukan sahaja pekan Kimanis akan mula menerima pembangunan, malah akan memberikan banyak peluang peningkatan ekonomi dalam usaha menaiktaraf kehidupan rakyat.

“Bukan itu sahaja, peluang pekerjaan untuk direbut oleh golongan belia termasuk peluang untuk memulakan atau menjalankan perniagaan akan terbuka luas kepada rakyat setempat dan sekitarnya,” tambah Lajim.

Mengulas kritikan parti pembangkang mengenai kedatangan Petronas ke Sabah, Lajim berkata, kritikan mereka (pembangkang) tidak membena dan tidak berasas sama sekali.

Menurut Lajim, mereka (pembangkang) hanya meletakkan kehadiran Petronas sebagai merampas hak anak negeri walhal kehadiran Peronas ke negeri ini terutamanya dalam projek cari gali memberikan kesan terhadap pembangunan ekonomi negeri melalui penerokaan dan juga pelaburan yang dilaksanakan .

Sehubungan itu, katanya, rakyat di negeri ini perlu merebut peluang yang ada terutamanya dalam industri yang dibangunkan oleh Petronas di negeri ini dan meminta Petronas membuka ruang dan peluang seluas-luasnya kepada penduduk khususnya golongan muda untuk terlibat dalam industri yang sedang dan akan dimajukan oleh Petronas.

Tambah Lajim, Petronas perlu melaksanakan program latihan seawal yang mungkin iaitu sementara SOGT sedang dibina bagi melatih tenaga mahir tempatan untuk diserapakan sebagai kakitangan dalam syarikat mereka.

"Jika mereka tidak ada pengalaman dan kelayakan, tentu sekali mereka tidak boleh bekerja dengan Petronas dan pekerja-pekerja terpaksa diimport dan dibawa dari negeri lain. Keadaan ini menyebabkan kita semua kecewa kerana segala kekayaan dan peluang pekerjaan akan jatuh di tangan orang lain,” jelas Lajim.

No comments:

Post a Comment