Tuesday 27 September 2011

TRANFORMASI POLITIK TAMPIL MUKA BARU



Oleh : KREW SABAHKINI.NET

KENYATAAN Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman yang tidak menolak kemungkinan Barisan Nasional (BN) Negeri Sabah akan mencalonkan ‘muka-muka baru’ pada Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU Ke 13) akan datang, merupakan satu senario yang amat disambut baik oleh rakyat; terutama untuk membuktikan bahawa tranformasi politik BN, bukan sekadar retorik semata-mata.

Mantan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Tuaran, Haji Ghulabdin Enjih menyatakan dengan adanya kenyataan Musa selaku Pengerusi BN Sabah yang menyebut mungkin akan ada muka-muka baru, walaupun belum diputuskan lagi; namun niat pimpinan negeri untuk membincangkan keinginan sedemikian dengan kepimpinan BN Pusat iaitu Perdana Menteri, amatlah dialu-alukan kerana dirasakan sesuatu langkah yang bijak.

Haji Ghulabdin menaruh kepercayaan, dengan adanya keinginan Pimpinan BN negeri untuk memngemukakan beberapa pemimpin muka baru untuk disenaraikan sebagai calon akan membolehkan BN meraih lebih banyak lagi sokongan dari pengundi muda; kerana mereka mahu janji tranformasi politik di negara ini menjadi realiti.

"Saya amat yakin bahawa keberanian Musa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah untuk menampilkan lebih ramai muka baru dalam PRU ke 13 tidak lama lagi; akan memperkukuh dan memperkuatkan lagi sokongan rakyat pelbagai kaum terhadap BN, terutama bagi mempastikan semua parti komponen BN mencapai kejayaan besar," kata Haji Ghulabdin yang juga Setiausaha Badan Bertindak Deklarasi Suara Anak-Anak Daerah Tuaran (MANDAT) yang baru di tubuhkan di daerah ini.

Beliau juga begitu bersetuju dengan Musa bahawa, setiap calon BN akan dipastikan menepati kriteria yang ditetapkan agar calon itu seboleh-bolehnya dapat diterima oleh rakyat kerana setelah diberikan mandat memenangi pilihanraya di kawasan berkenaan; maka mereka harus bertanggungjawab dan menjalankan amanah sebaik mungkin kepada rakyat yang diwakilinya.

“Sebab itu, wajarlah pimpinan BN mengulangi peringatan agar setiap wakil rakyat BN giat turun padang dan mendekati rakyat tidak kira sebelum, semasa atau selepas pilihan raya," kata Haji Ghulabdin yang juga Ahli UMNO Cawangan Seri Bayu di Tuaran.

Haji Ghulabdin juga yakin dengan penampilan muka-muka baru itu nanti ia akan dengan sendirinya dapat mengurangkan perasaan bimbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mendapati ada segelintir pemimpin lama di negara ini seolah-olah telah dirasuk oleh penyakit ‘Khayal, Lupa diri, Jumud dan Angkuh’ yang jika dibiarkan boleh melemahkan sokongan rakyat terhadap perjuangan BN dalam pilihanraya nanti.

Musa yang 99.99 % dijangka akan mengetuai BN Sabah dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 akan datang menyatakan kemungkinan BN negeri akan mengemukakan muka-muka baru dalam satu kenyataan ketika ditemubual di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh baru-baru ini.

"Kami berharap agar kepimpinan tertinggi BN dapat memenuhi harapan BN negeri dengan mempertimbangkan hasrat lebih banyak muka-muka baru untuk diketengahkan mewakili BN; khususnya UMNO kerana ramai wakil rakyatnya telah melebihi empat penggal mewakili kawasan berkenaan, yang sudah pasti menjadi isu politik untuk melemahkan BN," kata Haji Ghulabdin yang mendesak pucuk pimpinan harus menilai prestasi kerja wakil rakyat yang telah berkhidmat untuk beberapa penggal yang lepas.

Beliau berkata, rakyat bukanya mahu mencari salah pemimpin, tetapi demi kepentingan dan kejayaan BN pada masa akan datang; adalah baik bagi pucuk pimpinan membuat keputusan yang terbaik dan tidak kisah sesiapapun yang dipilih untuk menjadi calon asalkan dapat menyambung legasi kerajaan BN yang membela nasib rakyat.

No comments:

Post a Comment